PUTRAJAYA, 22 Feb – Pemotongan gaji pekerja oleh majikan hendaklah dibuat dengan tatacara yang betul seperti yang termaktub dalam Akta Kerja, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Bercakap kepada pemberita pada Program Kesuma Madani Tahun Baru Cina peringkat Kementerian Sumber Manusia, beliau berkata masalah disiplin juga bukan alasan untuk memotong gaji pekerja.

“Saya sudah tegaskan bahawa majikan tidak boleh sewenang-wenangnya memotong gaji seorang pekerja mengikut Seksyen 24 Akta Kerja kecuali potongan yang dibenarkan seperti KWSP (Kumpulan Simpanan Wang Pekerja), PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan cukai pendapatan.

“Selain daripada itu, majikan yang syarikat kecil atau besar tidak boleh potong gaji jika ada masalah disiplin. Tindakan (disiplin) mesti melalui proses inkuiri dalaman sesebuah syarikat,” katanya.

Seksyen tersebut memperuntukkan tiada potongan boleh dibuat majikan daripada gaji seseorang pekerja selain daripada yang terkandung dalam akta berkenaan.

Dalam pada itu beliau turut mengambil maklum tindakan sesetengah individu yang memuat naik berkaitan pemotongan gaji di tempat kerja di media sosial.

Susulan itu, Sim menyeru agar aduan rasmi dibuat di pelbagai saluran yang disediakan untuk tindakan lanjut pihak kementerian dan agensi berkaitan seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Saya tahu netizen berniat baik, naikkan di media sosial, tapi ini membabitkan undang-undang, jadi kita perlukan laporan rasmi.

“JTK akan mengambil tindakan susulan selepas laporan dibuat. Tetapi kita juga akan melakukan terjah, turun dan melihat sendiri,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial, restoran yang mempunyai beberapa cawangan didakwa mengenakan denda cuti sakit dan hukuman lain kepada kakitangan atas pelanggaran tingkah laku termasuk menolak gaji.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here