KUALA PERLIS, 24 Feb – Sejumlah 132,579 syarikat telah berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) setakat Januari lepas.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata daripada jumlah itu, sebanyak 75,758 kontraktor telah diberikan pengiktirafan Sijil Taraf Bumiputera (STB).

“Ini menunjukkan penglibatan bumiputera begitu besar, dan saya percaya isu-isu ekonomi bumiputera termasuk kontraktor ini akan dibangkitkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan bersidang pada minggu depan bermula 29 Feb hingga 2 Mac,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama ahli Persatuan Kontraktror Bumiputera Malaysia (PKBM) Perlis di sini malam ini.

Ewon berkata kementeriannya bersedia melaksanakan resolusi kongres itu nanti dan akan diangkat kepada kerajaan untuk dibincangkan dalam Jemaah Menteri, selain menyatakan komitmennya memperkasakan ekonomi bumiputera termasuk kontraktor bumiputera.

Sementara itu, beliau berkata sumbangan RM50,000 di bawah peruntukan khasnya sebagai menteri diberikan kepada PKBM Perlis untuk melaksanakan aktiviti persatuan, antaranya membiayai yuran kursus CIDB dan aktiviti lain bertujuan membantu kapasiti ahlinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here