PUTRAJAYA, 25 Feb – Tapak bazar Ramadan di Putrajaya akan dipantau setiap hari oleh pasukan petugas Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi memastikan isu kebersihan dan keselamatan makanan yang terjadi sebelum ini tidak berulang, kata Presiden Datuk Fadlun Mak Ujud.

Beliau berkata 700 peniaga bazar Ramadan akan diberikan taklimat minggu depan dari segi penyediaan makanan supaya bersih dan selamat.

“Kadang-kadang peniaga sediakan (makanan) petang dan mungkin masa dihidang di luar kawalan. Untuk memastikan (kebersihan) kita sentiasa buat pemantauan dan sekiranya berlaku kita beri ingatan atau hentikan mereka daripada berniaga serta-merta.

“Kita akan pastikan dari segi kualiti penyediaan makanan itu baik,” katanya kepada media selepas merasmikan festival pencahayaan edisi khas, Festival Lentera: Sisiran Tasik Putrajaya 2024, Sabtu malam.

Pada bulan puasa tahun lepas, tular video memaparkan mi berlauk sotong yang dikenali sebagai ‘Mee Tonggek’ berharga RM30 yang didakwa sudah berulat dan dibeli di bazar Ramadan Presint 3 di sini.

Susulan itu, PPj mengeluarkan notis amaran kepada pengusaha gerai itu dan diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Fadlun berkata tahun ini PPj akan memastikan semua peniaga bazar Ramadan tidak lagi menggunakan plastik untuk membungkus makanan dan akan memperkenalkan penggunaan pembungkusan daripada bahan biodegradasi atau boleh urai, selain menggalakkan pembeli membawa bekas masing-masing.

Umat Islam di Malaysia dijangka mula berpuasa pada 12 Mac ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here