PUTRAJAYA, 6 Mac – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memuat naik garis panduan Rangka Kerja Tadbir Urus Percukaian Korporat (TCGF), soalan-soalan lazim (FAQ) mengenai TCGF dan TCGF versi Bahasa Melayu di portal rasminya untuk rujukan orang ramai.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua dokumen yang telah dikemas kini hingga 23 Feb itu boleh dicapai dengan melayari https://www.hasil.gov.my/.

“Bagi memastikan pemahaman dan penggunaan TCGF yang lebih meluas di Malaysia, dokumen TCGF turut diterjemah dalam versi Bahasa Melayu,” menurut agensi di bawah Kementerian Kewangan itu yang bertanggungjawab memungut dan mentadbir cukai langsung negara.

Menurut LHDN, pengemaskinian yang dibuat ke atas garis panduan TCGF dan FAQ terkini adalah berdasarkan maklum balas yang diterima daripada beberapa siri sesi libat urus bersama agensi kerajaan, organisasi, pengamal percukaian serta kajian amalan terbaik pelaksanaan berkesan program Tadbir Urus Percukaian Korporat (TCG).

LHDN memaklumkan perubahan garis panduan adalah meliputi perkara berkaitan pemantauan, aspek keberkesanan rangka kerja kawalan percukaian, pelaporan ujian kawalan serta pelaporan tadbir urus percukaian, kawalan dan pengurusan risiko.

Dokumen TCG dan pelaksanaan Program TCGF telah dilancarkan pada 1 Mac 2022.

Ia diperkenal sebagai asas kepada LHDN dan pembayar cukai untuk membangun serta mengekalkan hubungan kerja yang lebih terbuka selain memastikan proses pematuhan percukaian adalah adil dan efektif.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas boleh dibuat menerusi e-mel khas tcg@hasil.gov.my,  03-8911 1000/603-8911 1000 (luar negara), HASil live chat atau borang di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here