KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyasarkan keluasan tanaman koko diperluaskan kepada 10,000 hektar dalam tempoh lima tahun daripada 5,985 hektar pada masa ini.

Timbalan Menteri KPK Chan Foong Hin berkata sasaran dengan menumpukan varieti koko premium yang mampu menembusi pasaran khusus itu akan dilaksanakan melalui penanaman di kawasan yang telah dikenal pasti.

“Susulan wujudnya jaminan prospek pasaran koko dalam negara pada ketika ini, KPK berharap agar komoditi ini diberikan peruntukan bagi meningkatkan peluasan (tanaman) sehingga 10,000 hektar seperti yang disasarkan dengan permulaan sebanyak RM3.0 juta untuk 2025,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai usaha KPK bagi memperkasakan industri koko dengan menggalakkan aktiviti penanaman koko sebagai sumber ekonomi.

Chan berkata KPK sedang dalam usaha menjenamakan dan mempromosikan produk premium koko tempatan sebagai koko asal tunggal dan koko berperisa unik, untuk membolehkan pengusaha koko mempromosikan keunikan rasanya selain menjadi tarikan kepada pembuat coklat tempatan dan antarabangsa.

KPK dan Lembaga Koko Malaysia turut menggalakkan pengenalan teknologi baharu dan penggunaan teknologi sedia ada dalam amalan pertanian baik bagi meningkatkan produktiviti serta memudah cara urusan pengurusan ladang dengan penerapan teknologi terkini melalui mekanisasi, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan lain-lain, katanya.

“Inisiatif ini mampu meningkatkan minat kelompok belia untuk menyertai sektor huluan, selain sokongan pemasaran yang menjadi kekuatan bagi pengusaha atau pekebun kecil untuk terus mengekalkan penanaman koko,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here