KUALA LUMPUR, 22 April – Pelaburan sehingga RM3 bilion akan dibuat oleh dana kekayaan negara Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Blue Chip Venture Capital (BCVC).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan itu akan dibuat dalam ekosistem Asia Tenggara dan Malaysia di bawah Inisiatif Pelaburan ASEAN.

Bercakap pada pelancaran Sidang Kemuncak KL20 2024 di sini hari ini, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan Khazanah Nasional akan melancarkan “National Fund of Funds” dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat Malaysia dengan pertumbuhan tinggi dan inovatif. 

Beliau berkata ini susulan pengumuman Belanjawan Malaysia MADANI 2024 pada tahun lepas yang menggariskan komitmen kerajaan terhadap syarikat Malaysia, daripada usahawan bumiputera hingga syarikat pemula niaga, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat-syarikat baharu yang berpotensi untuk berjaya. 

“Kerajaan turut menyasarkan untuk memusatkan agensi pelaburan seperti Malaysia Venture Capital Management Bhd (Mavcap) dan Penjana Kapital di bawah Khazanah Nasional,” kata beliau.

BCVC adalah dana khusus yang bertujuan untuk meningkatkan teknologi dan nilai dalam industri semikonduktor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here