KAPIT, 13 Mei – Perkampungan Rumah Panjang Nanga Engkuah di Ulu Katibas, Song, Sarawak dipilih menjadi Kampung Angkat MADANI Kementerian Kerja Raya (KKR). 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perkampungan di kawasan pedalaman itu telah diberi peruntukan sebanyak RM2.5 juta oleh Kementerian Kewangan untuk pelaksanaan pelbagai projek untuk keselesaan penduduknya.

Katanya, perkampungan yang merangkumi tiga buah Rumah Panjang iaitu Rumah Assan, Rumah Radiah dan Rumah Albert Lajong dengan 658 orang penduduk akan menerima projek fizikal meliputi pembinaan dua jambatan untuk menghubungkan ketiga-tiga Rumah Panjang tersebut dan pemasangan lampu jalan berasaskan tenaga solar.

“Dalam masa dua minggu lagi projek-projek yang dirancang akan ditender kepada pelaksana. Ia dijangka siap tahun hadapan,” katanya dalam sidang media ketika hadir pada program Menyantuni Kampung Angkat MADANI KKR, semalam. 

Rumah Panjang Nanga Engkuah merupakan rumah panjang moden yang diperbuat daripada konkrit dan terletak lebih kurang 50 kilometer dari Pekan Song serta mengambil masa tiga jam perjalanan menggunakan bot. 

Nanta berkata, beliau juga berhasrat memperluaskan projek kampung Angkat MADANI ke kawasan sekitar perkampungan Rumah Panjang Nanga Engkuah pada masa akan datang jika projek itu berjaya. 

Dalam pada itu, Nanta berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Katibas Lidam Assan bersama Upper Rajang Development Agency (URDA) dan pihak kerajaan negeri Sarawak bagi pelaksanaan program sosioekonomi khususnya aktiviti pertanian dan penternakan ikan air tawar.

“Di kampung ini juga telah dibina stesen pertanian dan kita akan manfaatkan sepenuhnya stesen itu… dan  kita akan bantu dalam memberi kolam plastik supaya penternakan ikan secara komersial dapat dilaksanakan secara tersusun dan teratur,” katanya

Sementara itu, Lidam berkata pihaknya  akan memperkasakan aktiviti tanaman sayur-sayuran di stesen pertanian itu selain akan mengadakan pusat penyelidikan mudah alih bagi perikanan darat. 

“Dengan adanya projek-projek seperti ini, ia sekaligus dapat mempromosikan eco-tourism dan agro- tourism. Sasaran utama kita adalah untuk membangunkan ekonomi kampung di sini, kita akan adakan kolam (ternakan ikan) besar dan kita akan cari pemborong ikan ‘empurau’ untuk membawa ikan itu ke pasaran,” katanya. 

Ketua Biro Pembangunan Rumah Assan Kulim Anak Madah, 38, berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan kerana memilih Perkampungan Rumah Panjang Nanga Engkuah sebagai Kampung Angkat MADANI seterusnya melaksanakan projek penambahbaikan infrastruktur di kawasan itu. 

“Saya rasa bangga, sebagai penduduk kampung sangat berterima kasih kepada kerajaan…Sekarang kami ada jambatan pejalan kaki (penghubung tiga buah rumah panjang) namun ada yang uzur, reput dan strukturnya tidak selamat,” katanya. 

Bagi Jururawat Masyarakat, Margaret Anak Kaya, 51, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pembinaan jambatan merentasi sungai Katibas bagi menghubungkan Klinik Kesihatan Nanga Engkuah dan Sekolah Kerajaan Nanga Engkuah dengan Perkampungan Rumah Panjang Nanga Engkuah. 

“Kita di sini majoritinya adalah warga tua, warga muda jarang tinggal di kampung.

“Jadi kalau ada penduduk di sini memerlukan rawatan, mereka terpaksa menunggu perahu kerana itu sahaja pengangkutan yang dapat menghubungkan kawasan ini ke sekolah dan klinik,” katanya.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here