KOTA BHARU, 13 Mei – Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan landasan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) daripada 2,400 meter kepada 2,800 meter untuk menjadikannya sebagai lapangan terbang antarabangsa.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rabu lepas.

“Kabinet setuju memanjangkan landasan LTSIP kepada 400 meter lagi untuk dijadikan sebagai lapangan terbang antarabangsa dan ia tidak perlu melalui proses tender kerana menjadi sebahagian daripada projek pembesaran dan menaik taraf LTSIP yang telah memasuki fasa kedua.

“Kita juga akan berbincang dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi projek ini dan yakin ia dapat dilakukan dengan baik serta cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Loke berkata pihaknya juga akan mengadakan rundingan dengan kontraktor terlibat berkaitan proses selanjutnya dari segi teknikal, harga serta keselamatan yang dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan sebelum pembinaan landasan dijalankan.

Pengoperasian terminal LTSIP fasa satu pada 1 Mei lepas mampu menampung 1.5 juta penumpang, manakala pembinaan fasa dua akan dilaksanakan serta-merta dan dijangka menampung hingga empat juta penumpang.

Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP membabitkan kos RM440 juta.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata kajian terperinci akan dilakukan pihaknya berkaitan penyambungan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Tunjong di Kota Bharu ke Rantau Panjang di Pasir Mas.

“Ada beberapa perkara yang perlu diteliti dan perbincangan dilakukan dengan pihak berkepentingan kerana kos pembinaan itu dianggarkan kira-kira RM2 bilion,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here