DOHA, 15 Mei – Kerajaan Qatar, yang kini dalam usaha untuk mempelbagaikan ekonominya, sedang menuju ke arah transformasi digital di seluruh negara dengan insentif bernilai kira-kira sembilan bilion riyal Qatar untuk ditawarkan.

Perdana Menteri dan Menteri Luar Negerinya, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani berkata menyedari kepentingan transformasi teknologi maklumat termasuk dalam kecerdasan buatan (AI), kerajaan telah memulakan pelbagai projek, termasuk projek dengan syarikat pemula niaga.

Beliau berkata ini termasuk pelancaran projek AI di dunia Arab yang akan mengumpul data berkualiti tinggi, meningkatkan pelbagai bidang linguistik dan menambah baik bahasa Arab,

“AI adalah dunia yang besar, sama ada dari segi infrastruktur atau aplikasi. Tumpuan kami di Qatar ialah untuk seiring dengan negara-negara lain di rantau ini.

“Kami melihat banyak potensi AI di dunia Arab, terutamanya melibatkan bahasa dan budaya Arab,” katanya pada sesi “In Conversation” pada Forum Ekonomi Qatar (QEF) 2024 yang bermula hari ini.

Mengenai kepelbagaian ekonominya, Sheikh Mohammed berkata Amerika Syarikat telah menjadi pasaran tradisional untuk Qatar, bagaimanapun Asia telah menjadi pasaran yang menarik bagi negara itu manakala pada masa yang sama ia meninjau pasaran sedang pesat membangun seperti Asia Tengah dan benua Afrika.

Beliau berkata dana kekayaan negaranya akan meneruskan strategi kepelbagaiannya, selain memastikan pelaburannya tidak berisiko tinggi tetapi dengan pendapatan yang mampan.

Turut hadir pada majlis perasmian Forum Ekonomi Qatar (QEF) 2024 ialah Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dijemput sebagai antara pemimpin untuk berucap pada sesi plenari hari ini.

Anwar kini berada pada hari terakhir dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke ibu negara Qatar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here