IPOH, 20 Mei – Pembinaan lebuh raya West Ipoh Span Expressway (WISE) melibatkan laluan jajaran antara Gopeng dan Kuala Kangsar dijangka bermula awal bulan depan, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata proses perbincangan pelaksanaan projek itu kini di peringkat akhir dan tertumpu kepada semakan draf perjanjian antara syarikat konsesi dengan Kerajaan Persekutuan sebelum ia ditandatangani kedua-dua pihak.

 Katanya beliau difahamkan draf perjanjian konsesi (CA) itu ketika ini berada pada Pejabat Peguam Negara. 

“Apabila ia dipersetujui, maka CA akan ditandatangani sebelum syarikat konsesi dapat menjalankan kerja-kerja pembinaan lebuh raya berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-27 Koperasi Masjid Perak Berhad (KOMAS) di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Kerajaan Persekutuan dalam usaha mempercepatkan pembinaan WISE sebagai langkah mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) khususnya melibatkan laluan di Terowong Menora.

Lebuh raya sepanjang 60 kilometer (km) itu bakal dilengkapi tiga lorong dua hala dengan laluannya bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar dan seterusnya Kuala Kangsar.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata wakil syarikat terkemuka Korea Selatan Star Group Industries (SGI) telah mengadakan kunjungan ke beberapa kawasan di Perak baru-baru ini untuk membuka kilang penghasilan magnet.

Beliau berkata antara kawasan yang dilawati termasuk Kamunting di Taiping, Bandariang di Gerik serta Silver Valley Technology Park (SVTP).

“Kita maklumkan kepada mereka bahawa Perak ini mempunyai mineral termasuk unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE). Kita berjaya meyakinkan mereka, mereka datang ke Perak dan mereka sahkan ia benar,” katanya.

Terdahulu Saarani dan delegasi kerajaan negeri telah mengadakan lawatan kerja selama lapan hari ke Korea Selatan pada April lepas, bertujuan menarik pelaburan ke Perak khususnya dalam industri mineral.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here