KUALA LUMPUR, 31 Mei – Kalangan penggiat industri semikonduktor digesa menawarkan gaji lebih tinggi serta pakej menarik bagi menggalakkan bakat atau tenaga kerja untuk kembali berkhidmat di negara ini.

Ketika berkongsi saranan itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong berkata negara-negara jiran misalnya menawarkan gaji lebih menarik kepada pekerja mahir dalam industri berkenaan.

“Saya sering menyatakan bahawa Malaysia tidak mengalami kekurangan bakat kerana mereka sebenarnya sedang berkhidmat di Singapura. Oleh itu, kita perlu mencari satu titik keseimbangan,” katanya ketika berucap pada majlis penutup SEMICON Asia Tenggara 2024 di sini, hari ini.

Liew berkata penggiat industri juga perlu memainkan peranan masing-masing bagi mengekalkan bakat terbaik mereka dalam negara ini dalam usaha memastikan Malaysia mampu mewujudkan satu ekosistem semikonduktor yang kukuh selain mencapai sasaran yang digariskan dalam Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS).

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menetapkan visi jelas serta tindakan yang boleh dilaksanakan di bawah NSS dan kerajaan berhasrat mengusahakan tindakan bersama dengan pihak berkepentingan.

“Sebagai sebuah negara, kita perlu bekerjasama erat dengan anda semua dan rakan kerjasama bagi mewujudkan satu bentuk diplomasi semikonduktor,” katanya.

Malah, katanya, dalam usaha kerajaan menyasarkan langkah meningkatkan pelaburan langsung asing, ini turut melibatkan perancangan menggalakkan inovasi tempatan serta melahirkan gergasi teknologi domestik.

“Kami mahu menyetempatkan inovasi sebanyak mungkin bagi mengukuhkan kehadiran Malaysia serta kerjasama serantau bagi sektor itu,” katanya.

Selain menarik pelaburan bernilai RM500 bilion dalam fasa pertama NSS, negara juga menyasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan dalam segmen reka bentuk dan pembungkusan yang maju dengan perolehan hasil masing-masing sekitar RM1 bilion hingga RM4.7 bilion.

Di bawah fasa kedua NSS, Malaysia berhasrat membimbing sekurang-kurangnya 100 syarikat berkaitan semikonduktor dengan pendapatan hampir RM1 bilion, sekali gus mewujudkan bayaran gaji lebih tinggi bagi pekerja Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here