PUTRAJAYA, 4 Jun – Kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan bebas emisi (ZEV) atau kenderaan elektrik ditetapkan berdasarkan kuasa motor elektrik dan akan berkuat kuasa 1 Jan 2026, umum Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata kadar fi baharu itu 85 peratus lebih rendah berbanding kadar sedia ada yang bertujuan menggalakkan rakyat beralih kepada penggunaan kenderaan ZEV.

Beliau berkata semua kadar fi bagi kenderaan ZEV akan disemak sekurang-kurangnya setiap lima tahun bagi memastikan keberkesanan dalam mencapai objektif peralihan kepada ZEV serta impak kepada hasil kerajaan.

“Kadar fi akan meningkat selaras dengan kenaikan kuasa motor elektrik. Peningkatan kuasa motor elektrik akan mewakili peningkatan dalam harga belian, saiz, segmen dan berat kenderaan.

“Kadar fi LKM baharu yang ditetapkan ini hanya terpakai kepada ZEV dalam kategori PBEV (kenderaan elektrik bateri) dan FCEV (kenderaan elektrik sel bahan bakar),” katanya pada sidang media bagi mengumumkan kadar fi LKM baharu bagi kenderaan elektrik (EV) di sini hari ini.

Pada Feb 2022, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan tawaran insentif Pengecualian Bayaran Fi LKM sepenuhnya untuk kenderaan EV bermula 1 Jan 2022 hingga 31 Dis 2025.

Susulan itu, pada 30 Mac lepas, Loke dilaporkan berkata kerajaan akan mengumumkan mengenai kadar cukai jalan bagi ZEV dalam masa terdekat dan memberi jaminan jumlah yang perlu dibayar tidak membebankan kerana mahu menggalakkan penggunaan ZEV di Malaysia.

Mengenai penetapan kadar blok, Loke berkata ia ditetapkan pada julat kuasa motor 100,000 watt.

Sebagai contoh, Loke berkata blok satu adalah untuk ZEV yang mempunyai kuasa motor elektrik daripada satu watt hingga 100,000 watt dan blok dua pula antara 100,001 watt dan 210,000 watt.

Beliau berkata kadar fi minima LKM bagi blok satu ialah RM20 manakala kadar maksima pula RM70.

“Bagi blok tiga, kadar fi minima ialah RM305 dan kadar fi maksima RM575,” katanya.

Berkongsi perbandingan kadar fi LKM ZEV sebelum dan selepas pindaan, Loke berkata bagi kenderaan BYD Dolphin Premium Standard Range yang berkapasiti 130 kilowatt (kW) akan hanya dikenakan fi sebanyak RM120 berbanding fi sedia ada iaitu RM624. 

Beliau berkata bagi Tesla Model Y yang berkapasiti 220kW pula ialah RM305 berbanding fi sedia ada iaitu RM2,583.

Kerajaan akan mewartakan kadar fi LKM bagi segmen kenderaan ZEV dalam masa terdekat untuk memudahkan pembeli membuat rujukan.

Menurut Loke, kadar fi baharu itu memberi signal kepada pengeluar kenderaan ZEV untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kenderaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here