BRUSSELS, 11 Jun – Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo pada Isnin mengemukakan peletakan jawatan kerajaannya kepada Raja Philippe, lapor Xinhua.

Raja Philippe menerima peletakan jawatan itu dan meminta De Croo terus mengendalikan hal ehwal semasa sehingga kerajaan baharu dibentuk.

Baginda dijangka berunding dengan tokoh-tokoh politik untuk memulakan proses pembentukan kerajaan persekutuan.

Lebih 8.35 juta orang di Belgium layak mengundi dalam pilihan raya persekutuan, serantau dan Eropah pada Ahad.

Keputusan rasmi yang diterbitkan Kementerian Dalam Negeri menunjukkan bahawa gabungan tujuh parti yang diketuai De Croo mengekalkan kemenangan tipis dengan memperoleh 76 daripada 150 kerusi di Parlimen Persekutuan.

Bagaimanapun, Parti De Croo iaitu Open VLD hanya berjaya memperoleh tujuh kerusi berbanding sebelum ini iaitu 12 kerusi.

The New Flemish Allince (N-VA) mengekalkan kedudukannya sebagai parti terbesar dalam parlimen persekutuan dengan memperoleh 24 kerusi, manakala parti sayap kanan, Vlaams Belang dan Gerakan Reformis masing-masing memperoleh 20 kerusi.

Pembentukan kerajaan persekutuan di Belgium dijangka mencabar, susulan perpecahan undi, perbezaan ekonomi, sosial dan pentadbiran antara pelbagai wilayah dan komuniti.

Belgium sebelum ini pernah merekodkan 541 hari tanpa kerajaan pada 2010 dan 2011.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here