ISTANBUL, 12 Jun – Malaysia dan Turkiye bersetuju untuk mewujudkan kerjasama perjanjian pertahanan yang menyeluruh serta berkongsi pelbagai aspek ketenteraan dan pertahanan dalam usaha meningkatkan keupayaan angkatan tentera masing-masing.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebelum ini hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara hanya berasaskan kepada perjanjian untuk latihan ketenteraan dan kerjasama industri pertahanan.

Beliau berkata pada masa ini perjanjian itu sepatutnya dinaikkan tarafnya yang merangkumi perkara-perkara seperti hal ketenteraan seperti perkongsian maklumat perisikan keganasan, isu ketegangan dan keselamatan serantau.

“Ia dilihat perlu agar kita mempunyai maklumat tepat mengenai keadaan di rantau ini (Eropah) supaya kita dapat membuat pendirian dan keputusan tepat dalam sesuatu isu selain Turkiye juga perlu ambil tahu tentang keadaan di ASEAN yang merupakan kawasan laluan kapal perdagangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Persetujuan mewujudkan kerjasama pertahanan itu dicapai hasil pertemuan empat mata Mohamed Khaled dengan rakan sejawatnya Yasar Guler ketika kunjungan hormat ke Kementerian Pertahanan Nasional Turkiye (MoND) di Ankara semalam.

Ini lawatan kerja rasmi pertama Mohamed Khaled ke Turkiye sejak dilantik Menteri Pertahanan pada 12 Dis tahun lepas.

Mohamed Khaled memaklumkan semasa pertemuan itu juga, kedua-dua negara berbincang berkaitan keadaan di rantau masing-masing dan Turkiye menghormati pendirian Malaysia dan ASEAN sebagai wilayah yang memegang prinsip berkecuali atau neutral, serta Malaysia turut mengambil perhatian mengenai cabaran yang dihadapi Turkiye di kawasan sempadan negara itu.

“Perbincangan turut menyentuh isu melibatkan Palestin dan Gaza dan kedua-dua negara setuju perlu ada gencatan senjata segera serta tiada halangan dan gangguan untuk bantuan kemanusian di sana.

“Selain itu, saya juga meminta semua perolehan yang dimuktamadkan dengan Turkiye iaitu tiga sistem pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE UAS) dan tiga kapal misi persisir (LMS) dapat dilaksanakan sepertimana yang ditetapkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here