JOHANNESBURG, 15 Jun – Ahli Parlimen Afrika Selatan pada Jumaat malam memilih semula Cyril Ramaphosa sebagai presiden negara itu untuk penggal kedua semasa sidang pertama badan perundangan, lapor Agensi Anadolu.

Ramaphosa, 71, ketua parti African National Congress (ANC), menerima 283 undi mengalahkan Julius Malema dari parti  Economic Freedom Fighters (EFF), yang memperoleh 44 undi.

ANC, yang pernah dipimpin oleh ikon global Nelson Mandela, mendominasi politik Afrika Selatan selama tiga dekad sebelum kehilangan majoriti dalam pilihan raya nasional pada 29 Mei.

ANC mempunyai 159 Ahli Parlimen dalam Dewan Negara yang mempunyai 400 kerusi, menjadikan sukar untuk parti itu membentuk kerajaan sendiri.

Ia mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan nasional.

Terdahulu pada Jumaat, ANC mencapai perjanjian untuk membentuk kerajaan perpaduan nasional dengan parti Democratic Alliance (DA), Patriotic Alliance (PA) dan Inkatha Freedom Party (IFP).

Ramaphosa mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen yang mengundinya dan berjanji untuk bekerja dan berkhidmat kepada semua rakyat Afrika Selatan.

“Saya ingin menyatakan dengan jelas, bahawa ini bukan gabungan besar dua atau tiga parti,” kata Ramaphosa, sambil menambah bahawa lebih banyak parti dialu-alukan untuk secara sukarela menyertai kerajaan perpaduan nasional.

Malema sementara itu mengucapkan tahniah kepada Ramaphosa atas pemilihan semulanya dan berkata partinya akan memastikan parlimen berfungsi selain akan menjadi pembangkang yang lantang yang akan memeriksa eksekutif.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here