JOHOR BAHRU, 15 Jun – Jumlah ketua isi rumah (KIR) bagi kategori miskin tegar di Johor menurun sebanyak 92 peratus sejak Mac 2023 sehingga kini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi laman Facebook beliau hari ini berkata penurunan itu berkurangan daripada seramai 4,378 KIR kepada 359 KIR.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan sifar miskin tegar Johor menjadi satu realiti. Insya-Allah kami akan terus berusaha untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan atas segala usaha dan gerak kerja yang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pejabat Daerah, Majlis Agama Islam Negeri Johor, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Ahli-Ahli Majlis, Ketua-Ketua Kampung, Penghulu dan semua agensi yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata antara inisiatif yang telah dilaksanakan iaitu program Keluarga Angkat dan Dapur Kasih Johor yang boleh menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah, bantuan baik pulih rumah, bantuan peralatan, latihan dan pendidikan.

Pada 9 Mei lepas, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dilapor bertitah mahu tiada KIR bangsa Johor berstatus miskin tegar selepas 2025.

Baginda bertitah sehubungan itu, kesemua 56 ADUN Johor perlu lebih proaktif mengenal pasti kelompok berkenaan dan memberi bantuan dalam tempoh 19 bulan akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here