KUALA LUMPUR, 15 Jun – Malaysia berhasrat menganjurkan Tahun Kemahiran ASEAN 2025 dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Sim menyatakan hasrat itu pada sesi perbincangan bersama pemimpin ASEAN di Geneva hari ini  antaranya dari Brunei, Singapura, Indonesia, Laos, Filipina, Thailand, Vietnam dan Kemboja.

Perjumpaan itu merupakan sebahagian daripada lawatan empat hari Sim ke Geneva yang merangkumi pengesahan Malaysia terhadap Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1981 (Konvensyen 155) ILO dan menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112.

Beliau berkata ia akan membuka jalan bagi Kementerian Sumber Manusia, jabatan dan agensi seperti Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk menerajui pelbagai inisiatif dalam meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja ASEAN.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan ILO dan semua pemimpin ASEAN dalam mencapai aspirasi ini menerusi Tahun Kemahiran ASEAN 2025. Saya yakin, melalui program-program yang telah dikenal pasti, kami dapat memudahkan pertukaran pengetahuan dan perkongsian amalan terbaik untuk meningkatkan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja kami.

“Selain itu, kami juga dapat memupuk kerjasama dan perkongsian yang lebih kukuh antara negara anggota dalam melaksanakan strategi jangka panjang ke arah pembangunan modal insan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tahun Kemahiran ASEAN 2025 akan merangkumi pelbagai program dan inisiatif di seluruh Asia Tenggara termasuk Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE), acara utama tahunan HRD Corp yang menghimpunkan tokoh industri dari seluruh dunia bagi membincangkan cabaran dan peluang dalam pembangunan modal insan.

Pada tahun ini dan 2025, NHCCE akan menumpukan keutamaan kepada masa depan pekerjaan untuk rantau ASEAN.

Sim berkata pengajuran acara itu juga tepat memandangkan Malaysia bakal mempengerusikan sidang ASEAN tahun depan yang memfokuskan kepada meningkatkan integrasi serantau dengan memupuk perdagangan lancar, kerjasama ekonomi mendalam dan rantau lebih saling berhubung.

Ia juga akan menggalakkan pelaburan ke dalam tenaga kerja ASEAN dengan mengutamakan pembangunan kapasiti, pendidikan dan pembangunan kemahiran untuk tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan menerusi tumpuan khusus pada bidang sedang meningkat naik seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi semikonduktor.

Sementara itu Ketua Kemahiran dan Kebolehkerjaan ILO Srinivas Reddy yang turut hadir pada perbincangan tersebut berkata Malaysia menunjukkan kemajuan yang cemerlang dalam usaha mempromosikan pembelajaran dan latihan kemahiran sepanjang hayat kepada rakyat.

Beliau turut yakin inisiatif itu akan memberikan impak positif dan memacu agenda pembangunan kemahiran untuk rantau ASEAN, selain turut berkongsi pengalaman dan kesan positif penganjuran Tahun Kemahiran Eropah yang dilaksanakan pada 2023 dan 2024. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here