IPOH, 27 Jun – Sebanyak 25 tan metrik sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) telah dikutip dengan pengurangan jejak karbon 21.93 tan metrik Karbon Dioksida Setara (CO2e) sejak Januari sehingga Mei tahun ini melalui kempen kutipan e-waste di bawah aktiviti ekonomi kitaran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata jumlah itu adalah hasil 55 program kutipan dan sasaran pada tahun ini ialah sebanyak 100 tan metrik.

“Bagi kutipan minyak masak terpakai untuk tujuan biodiesel, sejak 2023 sehingga Mei tahun ini, sejumlah 334.968 tan metrik berjaya dikutip dengan pengurangan jejak karbon sebanyak 6.3 tan metrik CO2e.

“Bilangan premis yang terlibat adalah 1,057 premis, terdiri dari premis kedai makan, kilang makanan, kantin sekolah, kafeteria hospital dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan.

Rumaizi berkata bagi kutipan semula tayar terpakai untuk tujuan proses pirolisis bagi menghasilkan produk sekunder iaitu karbon, besi dan bahan bakar, ia telah dilaksanakan dengan rakan strategik Thowlee Recycle.

“Sejak 2022 sehingga April tahun ini, sebanyak 3,632 tan metrik telah dikutip dengan pengurangan jejak karbon sebanyak 2,179.2 tan metrik CO2e. Aktiviti ini dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama lebih 100 kedai tayar di sekitar Majlis Bandaraya Ipoh,” katanya.

Sementara itu, Rumaizi berkata warga kota boleh melayari portal MBI bagi mengetahui maklumat lanjut tentang aktiviti ekonomi kitaran MBI di https://www.mbi.gov.my/sumber/ekonomi-kitaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here