KUALA LUMPUR, 5 Julai – Minggu kedua Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 menyaksikan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2021 dan 2022 diluluskan selepas 16 kementerian selesai menggulung perbahasan usul itu.

Turut diluluskan minggu ini ialah Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 yang bertujuan meluaskan kuasa Ketua Audit Negara bagi memeriksa, menyiasat dan mengaudit akaun mana-mana badan lain.

Rang undang-undang itu bagi meminda Akta Audit 1957 (Akta 62) diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 26 Ahli Parlimen dari kerajaan dan blok pembangkang.

Sementara itu empat rang undang-undang pula dibentangkan bagi bacaan kali pertama termasuk Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Tiga lagi ialah Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024; Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024, dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. 

Pada sesi minggu ini Saifuddin Nasution turut memberi penjelasan mengenai Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai Pemerdagangan Orang 2024 dan usaha kerajaan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia ke Tahap 1 (Tier 1) dalam laporan itu tahun depan. 

Turut mencuri tumpuan minggu ini ialah penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), yang beliau percaya bakal menjadi antara hab di utara Malaysia untuk menyemai bakat dan inovasi.

Beliau berkata berdasarkan lokasinya yang berdekatan dengan pelbagai institusi pendidikan dan kemahiran tinggi seperti institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Pusat Latihan Giat MARA.

Minggu kedua juga menyaksikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberi penerangan berhubung penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Insfrastructure Partners (GIP)  pada sesi Kamar Khas.

Selain itu pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang dibentangkan bagi bacaan kali kedua, beberapa Ahli Parlimen meminta ia dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi penelitian lanjut termasuk mendapatkan pandangan pihak berkaitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here