KUALA LUMPUR, 6 Julai – Program pembangunan keusahawanan e-dagang yang dilaksanakan beberapa kementerian memberi impak positif kepada usahawan yang menyertainya hingga berjaya mengubah kehidupan kebanyakan daripada mereka. 

Usahawan kecantikan Nilawati Degom, 40, berkata hasil penyertaan dalam program kelolaan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah Kementerian Digital itu telah membantunya mengembangkan perniagaan daripada bermula di rumah kini memiliki premis kecantikan sendiri.

Beliau berkata sebelum didedahkan dengan program tersebut perniagaannya kurang mendapat sambutan kerana tidak mempunyai pengetahuan berkenaan pengurusan yang betul.

“Selepas saya sertai program ini dan belajar bagaimana menguruskan perniagaan, menjaga kewangan serta kaedah membuat pemasaran di Internet, barulah nampak hasilnya. Selama ini saya mempunyai bakat dalam bidang kecantikan tetapi tiada kemahiran untuk memasarkannya.

“Sekarang jualan di pusat kecantikan  dan produk jamu buatan sendiri melonjak. Syukur hidup saya kini berubah 180 darjah dan sudah mempunyai premis kecantikan sendiri di Bintulu, Sarawak,” katanya.

Semalam, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat memaklumkan pengurusan program pembangunan keusahawanan e-dagang telah dilaksanakan dengan baik dan melebihi sasaran ditetapkan.

Program berkenaan dilaksanakan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri;  Kementerian Digital; Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah; serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Sementara itu, usahawan jahitan dan butik perkahwinan di Kepala Batas, Pulau Pinang, Nur Ummiumaira Azmi, 22, pula berkata beliau bersyukur dapat menyertai program itu pada usia muda dan berjaya, malah kini dalam perancangan untuk membuka butik kedua. 

“Saya mula berniaga dengan kosong (ilmu), hanya berbekalkan kemahiran menjahit. Selepas sertai kelas demi kelas (anjuran MDEC) sejak 2022, perniagaan jahitan saya semakin baik dan kini berkembang menjadi pengusaha butik perkahwinan,” katanya. 

Bagi usahawan songkok, Asmidar Liatee Azhar, 36, tindakannya beralih kepada platform media sosial yang sebelum ini kurang diberi tumpuan, ternyata membuahkan hasil di luar jangkaan.

“Selepas menyertai program pembangunan keusahawanan e-dagang, jualan (dalam talian dan fizikal) meningkat 100 peratus. Saya belajar macam-macam terutamanya kemahiran menjual secara dalam talian dan tampil lebih yakin setiap kali membuat jualan secara langsung di aplikasi TikTok.

“Tahun ini saya sudah ada dua cawangan kedai songkok iaitu di Shah Alam, Selangor dan di kampung halaman di Kemaman, Terengganu hasil menyertai eUsahawan kelolaan MDEC,” katanya yang turut berharap dapat mengembangkan lagi perniagaannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here