CANBERRA, 8 Julai – Pihak berkuasa di sebuah bandar pedalaman Australia telah menguatkuasakan perintah berkurung susulan beberapa siri insiden keganasan.

Pesuruhjaya Polis Wilayah Utara (NT) Michael Murphy pada Isnin mengumumkan perintah berkurung berkuat kuasa serta-merta di bandar Alice Springs, lebih 1,000 kilometer ke selatan Darwin, selama tiga malam.

Di bawah perintah berkurung, semua individu tidak dibenarkan memasuki daerah pusat perniagaan (CBD) Alice Springs antara 10 malam hingga 6 pagi waktu tempatan kecuali mereka mempunyai alasan yang sah untuk berbuat demikian.

Perintah itu dilaksanakan selepas empat pegawai polis yang tidak bertugas mendakwa diserang oleh sekumpulan individu di Alice Springs pada awal pagi Ahad.

Seorang pegawai polis turut dilanggar di bandar itu pada Jumaat dan satu kejadian tikaman didakwa berlaku di CBD dalam insiden berasingan.

Ini kali kedua Alice Springs dikenakan perintah berkurung pada tahun ini.

Semua kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dilarang memasuki CBD Alice Springs antara 6 petang hingga 6 pagi selama tiga minggu antara Mac dan April berikutan pergolakan awam di bandar mempunyai 25,000 orang penduduk itu.

Murphy pada Isnin berkata individu yang memasuki CBD tanpa alasan yang sah seperti melarikan diri daripada keganasan rumah tangga dan urusan kerja akan diarahkan polis untuk meninggalkan kawasan berkenaan.

Beliau berkata kegagalan mematuhi arahan polis boleh menyebabkan notis tangkapan atau pelanggaran dikeluarkan.

Jika kelakuan berbahaya berterusan, Murphy berkata perintah berkurung itu mungkin dilanjutkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here