KOTA KINABALU, 11 Julai – Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini meluluskan empat rang undang-undang (RUU) berkaitan hal ehwal Islam di negeri ini.

RUU baharu diluluskan ialah RUU Enakmen Mahkamah Syariah 2024, manakala tiga RUU lagi melibatkan pindaan iaitu RUU Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (Pindaan) 2024, RUU Keterangan Mahkamah Syariah (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pindaan) 2024.

Kesemua RUU tersebut dibentangkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif sebelum diluluskan dengan suara terbanyak setelah dibahaskan masing-masing lapan pembahas ketika sidang dikendalikan Timbalan-timbalan Speaker iaitu Datuk Richard Yong Ke Wong dan Datuk Al Hambra Tun Juhar.

Mohd Arifin ketika membentangkan RUU berkenaan berkata RUU Enakmen Mahkamah Syariah 2024 bertujuan memperkemas pengurusan dan pentadbiran Mahkamah Syariah negeri itu antaranya melibatkan bidang kuasa, perlantikan hakim dan prosiding mahkamah.

RUU Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (Pindaan) 2024 pula bertujuan memasukkan bahagian baharu ke dalam enakmen itu untuk mengadakan peruntukan bagi perkara berhubung dengan pendakwaan syariah dan penguatkuasaan agama.

Beliau berkata RUU Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Pindaan) 2024 pula untuk meminda takrif tertentu bagi istilah tertentu dalam Seksyen 3 enakmen itu supaya selaras dengan istilah masa kini yang digunakan dalam undang-undang yang berkaitan.

 Mohd Arifin berkata RUU Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pindaan) 2024 bertujuan meminda takrif tertentu bagi istilah tertentu dalam Subseksyen 3(1) enakmen itu supaya selaras dengan istilah masa kini yang digunakan dalam undang-undang yang berkaitan termasuk pindaan lain yang berkaitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here