KUALA LUMPUR, 11 Julai – Kerajaan MADANI memutuskan fungsi pihak berkuasa koridor (PBK) akan diselaraskan dan hanya memberi tumpuan kepada usaha merealisasikan pelaburan diluluskan selepas ini, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata ini bermakna fungsi-fungsi PBK melibatkan infrastruktur, air, sosioekonomi dan kemiskinan akan dipusatkan kembali kepada agensi-agensi persekutuan lain supaya tiada pertindihan.

“Kementerian Ekonomi kini dalam proses menyelaraskan dan menyemak fungsi ini serta proses di peringkat pentadbiran sedang dilaksanakan.

“Insya-Allah, sebahagian daripada pindaan kepada akta yang diperuntukkan untuk menyelaraskan fungsi tersebut akan dibawa ke Parlimen pada sidang akan datang,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/24 bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya agensi di bawah Kementerian Ekonomi ialah pihak berkuasa koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan pengauditan LKAN kali ini tertumpu kepada projek dan program yang dilaksanakan di Wilayah ECER berdasarkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) hingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) serta Pelan Induk ECER (EMP) yang bermula dari 2008 hingga 31 Dis 2022.

“Terdapat lima pihak berkuasa koridor di negara kita dan yang diaudit untuk pusingan ini ialah pihak berkuasa koridor ECER. 

“Untuk makluman, pihak berkuasa koridor ini telah diberi mandat di bawah akta masing-masing dan kebanyakan akta digubal pada 2007 hingga 2008. 

“Bagi koridor di Sabah dan Sarawak, ia ditubuhkan di bawah ordinan kerajaan negeri masing-masing dan fungsi mereka sebelum ini merancang dan membangunkan sosioekonomi yang merentasi pelbagai bidang bukan sahaja pelaburan,” katanya.

Beliau berkata sebelum keputusan LKAN dikeluarkan, kerajaan MADANI telah sedia maklum bahawa ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian berkaitan isu pertindihan tugas dan peruntukan. 

“Ini kerana ada sebahagian kerja itu walaupun sebenarnya terletak di bawah kementerian peringkat persekutuan tetapi disebabkan akta memberi kuasa kepada PBK untuk turut melaksanakannya, justeru, ada yang dilaksanakan di bawah kementerian masing-masing,” katanya.

Menurut LKAN 2/24, prestasi pencapaian projek dan program yang dirancang oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi tempoh RMKe-9 dan RMKe-12 telah melebihi 90 peratus.

Sebanyak 99 (90.8 peratus) daripada 109 projek dan program telah dilaksanakan dengan 77 projek telah disiapkan manakala 22 projek dan program masih dalam pelaksanaan dengan tiga dalam peringkat perancangan, 11 di peringkat reka bentuk dan lapan di peringkat pembinaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here