PUTRAJAYA, 12 Julai – Ketika Malaysia bersiap sedia untuk menggalas jawatan pengerusi ASEAN tahun depan, negara kini mesti melakukan persediaan asas yang boleh memberi manfaat bagi tempoh 20 tahun akan datang, memanfaatkan sektor utama termasuk semikonduktor, kenderaan elektrik dan pendigitalan.

Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Dr Sufian Jusoh berkata ini penting kerana ia dapat memastikan kepentingan negara bukan sahaja dilindungi tetapi dapat lebih ditonjolkan lagi.

“Kita mencapai pencapaian terbesar kita apabila menjadi salah satu anggota pengasas (ASEAN) pada1967 dan sehingga sekarang saya fikir kita boleh berbangga dengan diri kita sendiri bahawa kita berjaya menjadi peneraju dalam sektor tertentu seperti perbankan dan ekonomi halal.

“Tetapi pada masa yang sama kita juga perlu mengadakan lebih banyak perbincangan mengenai pengiktirafan bersama dalam bidang kejuruteraan, seni bina dan juga pendidikan,” katanya pada forum mengenai Masa Depan ASEAN Di Bawah Pengerusian Malaysia, di sini, pada Khamis.

Sufian berkata perdagangan Malaysia dengan ASEAN meningkat 34 peratus kepada RM772 bilion pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.

Perdagangan dengan ASEAN menyumbang 27.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada 2022.

Mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia, beliau berkata, jumlah perdagangan di bawah FTA berjumlah RM1.069 trilion manakala import berjumlah RM847.06 bilion.

Setakat ini Malaysia telah menandatangani dan melaksanakan sejumlah 16 FTA (tujuh FTA dua hala dan sembilan FTA serantau).

Terutamanya, pada 2022, negara melaksanakan dua FTA mega, iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Mengenai kesalinghubungan, Sufian memuji usaha Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang menyediakan perkhidmatan menghubungkan Malaysia, Thailand, Laos dan China.

Perkhidmatan itu akan menghubungkan laluan perdagangan baharu dan beberapa pelabuhan darat di seluruh rantau, termasuk Depoh Pelepasan Dalam Negeri Kontena Nasional (KNICD) di Selangor, Pelabuhan Darat Perlis, Pelabuhan Darat Latkrabang Thailand dan Pelabuhan Kering Thanaleng di Laos, yang kesemuanya merupakan hab perdagangan penting.

Dilaporkan bahawa perkhidmatan yang disediakan oleh KTMB itu dapat mengurangkan masa transit barangan antara negara, dengan masa transit dari KNICD ke Chongqing, China, dijangka hanya mengambil masa sembilan hari berbanding 14 hingga 21 hari melalui jalan laut.

“Itu menunjukkan pencapaian besar untuk menghubungkan kita ke seluruh dunia menerusi pengangkutan kereta api,” katanya.

Sementara itu, Sufian menggesa agar lebih ramai pakar bukan kerajaan terlibat membantu menyampaikan maklumat itu terutama kepada usahawan yang menjalankan perniagaan kecil dan sederhana di pinggir bandar.

“Mungkin mereka boleh membantu PKS dan menerangkan tentang inisiatif ASEAN dan bagaimana mereka boleh menggerakkan birokrasi ASEAN kerana ASEAN juga (kadang-kadang) birokratik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here