JAKARTA, 13 Julai – Serangan siber di Indonesia baru-baru ini yang mengganggu sistem data nasional telah mendorong negara itu untuk memperkukuh keselamatan sibernya dan menilai semula dasar teknologi digital.

Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan Indonesia, Hadi Tjahjanto berkata pada Jumaat bahawa kerajaan akan melaksanakan penambahbaikan keselamatan digital dan mengukuhkan keupayaan sistem pusat data nasionalnya.

“Kami sedang mereka bentuk pusat data dengan keupayaan pelbagai sandaran (back-ups) dan langkah keselamatan yang kukuh.

“Kami berhasrat menjadikan ia sistem yang tidak boleh digodam. Usaha ini akan berterusan bagi menyokong kerajaan dalam berkhidmat kepada masyarakat,” kata Tjahjanto.

Kementerian Komunikasi dan Informasi Indonesia kini bersedia untuk melaksanakan ” tenant redeploy” bertujuan meningkatkan keselamatan digital dalam tadbir urus berdasarkan prosedur operasi standard yang lebih ketat.

“Kami akan melaksanakannya dari Ogos hingga September 2024,” kata Ketua Pengarah Aplikasi Informasi kementerian itu, Ismail pada Khamis.

Serangan perisian tebusan yang menyasarkan pusat data nasional Indonesia mewujudkan krisis data besar-besaran bermula pada 17 Jun dan berterusan selama hampir satu minggu. Pada mulanya, penggodam menuntut tebusan sebanyak US$8 juta.

Menurut Kementerian Komunikasi dan Informasi serta National Cyber and Encryption Agency, sekurang-kurangnya 282 institusi terganggu akibat serangan itu termasuk perkhidmatan imigresen yang menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang di lapangan terbang akibat masalah sistem.

Serangan itu juga mengganggu institusi pendidikan untuk pendaftaran pelajar menjelang sesi akademik baharu.

Susulan kejadian itu, terdapat laporan bahawa ramai rakyat Indonesia menuntut peletakan jawatan Menteri Komunikasi dan Informasi, dengan alasan kegagalannya melindungi data orang ramai.

Industri kewangan di Indonesia, yang dianggap paling terdedah kepada penggodam, terus meningkatkan keselamatan sibernya untuk mengantisipasi ancaman serangan siber.

Penguasa Perkhidmatan Kewangan Indonesia, sebuah agensi kerajaan yang mengawal selia dan menyelia sektor perkhidmatan kewangan melancarkan garis panduan keselamatan siber pada Selasa yang memenuhi keperluan semua penyelenggara inovasi teknologi dalam sektor kewangan di negara itu.

Garis panduan itu merangkumi perlindungan data, pengurusan risiko, tindak balas insiden, ‘maturity assessment’, latihan dan kesedaran, dengan mengutamakan prinsip kerjasama dan pertukaran maklumat.

Sementara itu, Persatuan Penyedia Perkhidmatan Internet Indonesia (APJII) memaklumkan bahawa mereka sedang membentuk pasukan khas yang akan memberi tumpuan kepada keselamatan siber, khususnya untuk mengelakkan kesan negatif daripada inovasi teknologi yang berkembang pesat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here