JAKARTA, 13 Julai – Tentera Darat Malaysia dan Tentara Nasional Indonesia Angkatan Darat melaksanakan rondaan bersama di sempadan kedua-dua negara dari 29 Jun sehingga 6 Julai.

Rondaan Siri 1/2024 dilaksanakan di kawasan Kalimantan Utara melibatkan Batalion Kesembilan Rejimen Sempadan dan Pasukan Petugas Keselamatan Sempadan Yonarhanud 12 Satria Bhuana Prakasa (SBP).

Acara penutup rasmi diadakan di Desa Long Midang, Mukim Krayan Induk, Daerah Nunukan pada 6 Julai, menurut Yonarhanud 12 SBP dalam satu kenyataan.

Komandan Pasukan Petugas Keselamatan Sempadan Lt Kol Arh Agus Prijambodo memuji anggota terlibat yang bertungkus lumus dan mengerah keringat menjalankan rondaan dengan baik, lancar dan selamat.

“Kegiatan ini mampu menjadi wadah berkesan untuk merealisasikan semangat kebersamaan dan persefahaman antara perajurit kedua-dua negara,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran Pegawai Pemerintah Batalion Kesembilan Rejimen Sempadan Lt Kol Muhammad Samzie Gusang dan delegasinya di acara berkenaan.

Di Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Indonesia (GBC Malindo) yang ke-43 di Jakarta tahun lepas, menteri pertahanan kedua-dua negara menekankan kepentingan untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam menangani cabaran di kawasan sempadan.

Ia termasuk menggembleng rondaan bersama melalui mekanisme rondaan terselaras untuk memerangi jenayah rentas sempadan yang mengancam keselamatan dan kestabilan di perbatasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here