KUALA LUMPUR, 19 Julai – Orang ramai berpeluang untuk mendapatkan Skim Pinjaman Komputer Riba dan Desktop secara percuma sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang diadakan di Cyber Event Hall Cyberjaya, dekat sini pada Ahad ini.

Berdasarkan hebahan yang disiarkan di laman sesawang www.merdeka360.my, penawaran skim itu merupakan antara 21 acara yang akan dijalankan sepanjang program berkenaan bermula dari 9 pagi hingga 4.30 petang.

Acara lain adalah pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024, pameran kemerdekaan, Jualan Kombo Agro MADANI, promosi Program Pengajian Jarak Jauh Universiti Teknologi Mara (UiTM), Pameran Kids Tech Centre dan Urban Farm Tech serta pengurangan kadar kompaun sehingga 50 peratus oleh Polis Diraja Malaysia.

Bagi mereka yang berbakat dalam nyanyian pula dialu-alukan untuk menyerlahkan bakat masing-masing menerusi  pertandingan Bintang Patriotik yang diadakan di Pentas Seni (tapak foodtruck) di lokasi sama.

Selain itu orang ramai berpeluang membeli barangan keperluan asas pada harga yang murah menerusi Jualan Ehsan Rahmah MADANI yang turut diadakan dan antara produk utama yang akan dijual ialah ayam, ikan, daging, telur, minyak masak botol (lima kilogram), beras dan lebih 20 produk simpanan stok.

Bagi memudahkan pergerakan pengunjung, perkhidmatan bas henti-henti akan disediakan secara percuma dengan tempat pengambilan penumpang di Park & Ride Cyberjaya dan Parking Rekaspace Cyberjaya manakala tempat menghantar di Cyber Hall Event. 

“Kekerapan bas ini setiap 30 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa iaitu dari 8 pagi hingga 5.30 petang,” menurut hebahan berkenaan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program yang disediakan sepanjang Bulan Kebangsaan ini melalui www.merdeka360.my serta media sosial Merdeka360 di Facebook, Instagram, X dan TikTok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here