CANBERRA, 25 Julai – Kerajaan Australia akan mengenakan denda yang besar ke atas syarikat gergasi teknologi yang tidak melaporkan usaha mereka untuk memerangi bahan penderaan kanak-kanak di platform mereka.

Pada Rabu, notis undang-undang telah dikeluarkan kepada syarikat teknologi utama, termasuk Apple, Google, Meta dan Microsoft, mewajibkan laporan dwitahunan kepada Pesuruhjaya eSafety untuk dua tahun akan datang mengenai langkah mereka terhadap penderaan seksual kanak-kanak dalam talian.

Syarikat-syarikat itu mempunyai masa sehingga 15 Feb 2025, untuk menyediakan laporan pertama tentang cara mereka memerangi bahan penderaan kanak-kanak, penderaan yang disiarkan secara langsung, dandanan dalam talian, pemerasan seksual dan jika berkenaan, pengeluaran bahan penderaan kanak-kanak menggunakan kecerdasan buatan generatif (AI).

Mereka yang gagal menyerahkan laporan akan menghadapi penalti kewangan sehingga 782,500 dolar Australia (AS$516,581.7) bagi setiap hari mereka tidak mematuhi peraturan itu.

Pesuruhjaya eSafety Julie Inman Grant berkata keputusan untuk memaksa syarikat berkenaan membuat laporan adalah berdasarkan jawapan yang diberikan kepada pejabatnya pada 2022 dan 2023 yang mendedahkan kebimbangan keselamatan yang ketara mengenai melindungi kanak-kanak daripada penderaan.

“Kami meningkatkan tekanan ke atas syarikat-syarikat ini untuk memperbaiki tindakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Apple dan Microsoft pada 2022 memberitahu badan pemerhati bahawa mereka tidak secara proaktif mengesan kandungan penderaan kanak-kanak yang disimpan pada awan manakala perkhidmatan pesanan Skype, Microsoft Teams, FaceTime dan Discord tidak menggunakan sebarang teknologi untuk mengesan penderaan seksual kanak-kanak dalam sembang video langsung.

Meta melaporkan kepada eSafety bahawa ia tidak selalu berkongsi maklumat antara perkhidmatannya apabila akaun diharamkan kerana penderaan kanak-kanak dan lapan perkhidmatan Google yang berbeza tidak menyekat pautan ke tapak web yang diketahui mengandungi bahan penderaan kanak-kanak.

“Dalam perbualan kami seterusnya dengan syarikat-syarikat ini, kami masih belum melihat perubahan atau penambahbaikan yang bermakna terhadap kelemahan keselamatan yang dikenal pasti ini,” kata Inman Grant pada Rabu.

Beliau berkata masa respons terhadap laporan penderaan kanak-kanak berbeza antara syarikat teknologi pada 2022 daripada serendah empat minit hingga 19 hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here