PUTRAJAYA, 1 Ogos – Kerajaan akan terus memastikan penggunaan rangkaian 5G dan kecerdasan buatan (AI) dapat dicapai oleh sektor swasta terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meningkatkan perniagaan dan produktiviti, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata antara usaha berkenaan adalah inisiatif pemerkasaan digital oleh Alibaba Cloud untuk meningkatkan literasi AI dan teknologi dalam kalangan bakat tempatan.

Gobind berkata ia dilaksanakan menerusi pembinaan ekosistem yang luas dan inklusif, dengan disokong oleh pembiayaan, latihan dan sokongan teknikal.

“Kita berada pada titik peralihan penting dalam perjalanan digital Malaysia, dengan integrasi teknologi canggih seperti Al dan pengkomputeran awan adalah penting untuk pertumbuhan dan inovasi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pemecut Digital Alibaba Cloud di sini hari ini.

Menerusi program itu, Alibaba Cloud akan melatih dan memperakui lebih 500 syarikat pemula di Malaysia menjelang akhir 2025.

Syarikat pemula yang layak akan menerima sehingga US$120,000 (US$1=RM4.58) dalam bentuk pembiayaan dan sumber untuk menyokong pertumbuhan dan kejayaan pendigitalan.

Ditubuhkan berikutan kejayaan bekerjasama dengan Universiti Malaya, inisiatif itu turut merancang penubuhan Pusat Kemahiran Akedemi Alibaba Cloud di lima universiti di Malaysia menjelang 2025.

Pusat itu akan menawarkan akses percuma terhadap sumber digital untuk pelajar dan pengajar dengan menumpukan kepada bidang seperti Al Generatif, keselamatan siber dan analitik data yang akan membantu mencapai matlamat Alibaba Cloud untuk memperakui 10,000 pelajar menjelang akhir 2025.

Selain itu, Alibaba Cloud komited untuk memberikan latihan digital yang diperluas kepada komuniti luar bandar di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here