SEPANG, 2 Ogos – AirAsia Group dijangka menerima lima lagi pesawat baharu Airbus A321neo menjelang akhir tahun ini.

 Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata kesemua pesawat itu akan diserahkan secara berperingkat atau satu atau dua pesawat sebulan, bermula Ogos hingga Disember ini.

“Kami menjangka pesawat kami melebihi 300 unit dalam tempoh lima tahun akan datang, menerbangkan lebih 100 juta tetamu pada setiap tahun,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan menerima empat pesawat A321neo yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Penambahan empat pesawat baharu ini menjadikan jumlah keseluruhan pesawatnya sebanyak 221 pada masa ini.

Lingam berkata selain empat pesawat berkenaan, ia mempunyai lapan pesawat A321neo yang berkhidmat untuk AirAsia Malaysia dan Thailand.

“Pesawat baharu ini adalah pencetus perubahan. Ia membolehkan kami menambah laluan, menawarkan penerbangan jarak lebih jauh dan meningkatkan kecekapan operasi.

“Pesawat ini akan menjadi pemacu utama bagi perkhidmatan Fly-Thru yang telah menjadi teras pertumbuhan rangkaian kami, sebagai pelengkap penerbangan terus untuk menghubungkan tetamu ke pelbagai destinasi unik dan belum diteroka di seluruh dunia dengan tambang berpatutan,” katanya. 

Bo berkata AirAsia mengunjurkan tetamu Fly-Thru meningkat kepada 25 peratus menjelang 2025 berbanding 18 peratus pada masa ini.

Sebagai pesawat terpanjang dalam kategori pesawat lorong tunggal Airbus A320, kecanggihan teknologi dan kecekapan bahan api A321neo adalah sejajar dengan matlamat AirAsia untuk mengurangkan kos operasi di samping mengekalkan pengalaman perjalanan terbaik untuk tetamu.

Pesawat ini boleh mendarat di lapangan terbang lebih kecil, membuka peluang perkhidmatan di bandar kedua, dan meningkatkan kecekapan operasi dengan kos 30 peratus lebih rendah berbanding pesawat berbadan lebar.

Pada separuh pertama 2024, AirAsia melancarkan 20 laluan baharu di seluruh kumpulan, meneruskan perkhidmatan melibatkan lebih 130 destinasi dan menerbangkan lebih 31 juta tetamu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here