JOHOR BAHRU, 7 Ogos – Negara anggota ASEAN perlu bekerjasama menangani pelbagai cabaran sektor pertanian khususnya melibatkan isu kekurangan tanah kesan daripada pembangunan dan peningkatan penduduk.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Lokman Hakim Ali berkata sehubungan itu kaedah pertanian moden perlu digunakan secara meluas kerana ia berupaya meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil pertanian.

“Kepadatan penduduk di semua negara semakin meningkat. Kita memerlukan pembangunan, perumahan dan perindustrian, dan ini memerlukan penggunaan tanah sama ada tanah pertanian atau perhutanan sekali gus memberi kesan kepada pengeluaran hasil pertanian serta makanan.

“Oleh itu melalui kaedah pertanian moden kita bukan sahaja membantu petani, penternak dan nelayan mengurangkan kos tetapi juga dapat meningkatkan hasil pengeluaran menggunakan ruangan sedia ada melalui pembangunan keupayaan dan pengurusan pertanian mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pegawai-Pegawai Kanan Kali Ke-45 Bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (SSOM-45TH AMAF) di sini hari ini.

Lokman Hakim berkata antara kejayaan pertanian moden di Malaysia adalah peningkatan jumlah pengeluaran padi daripada dua kali kepada tiga kali setahun di kawasan sama melalui teknologi benih dan pengurusan ladang yang lebih baik. 

Menurut beliau, kaedah pertanian moden juga berupaya menarik minat golongan belia untuk menceburi sektor pertanian demi keterjaminan sumber bekalan makanan negara sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya berpendapatan tinggi.

“Semakin ramai belia telah menceburi bidang pertanian dan menjadi contoh ikutan. KPKM juga menyediakan pelbagai geran usahawan muda walaupun bidang ini mencabar tetapi apabila lihat hasil yang lumayan, ramai belia ceburi bidang ini,” katanya.

Berhubung SSOM-45TH AMAF yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, Lokman Hakim berkata mesyuarat itu dihadiri delegasi daripada 10 negara anggota ASEAN bagi membincangkan kerjasama untuk meningkatkan hasil pengeluaran dan menjaga ekosistem pertanian demi keterjaminan bekalan makanan serantau.

Selaku tuan rumah, Malaysia mempengerusikan mesyuarat berkenaan dalam tempoh setahun bermula Oktober 2023 hingga Oktober tahun ini sebelum mesyuarat tahun berikutnya dipengerusikan oleh Myanmar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here