KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Kerajaan memulakan siasatan duti anti lambakan ke atas import Polyethylene Terephthalate (PET) yang berasal dari China dan Indonesia, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata siasatan berkenaan dilaksanakan berikutan petisyen yang diterima daripada pengeluar domestik, Recron (M) Sdn Bhd.

Syarikat itu mendakwa bahawa import barangan subjek yang berasal atau dieksport dari kedua-dua negara berkenaan dijual pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga jualan domestik mereka (harga lambakan).

Recron berkata import yang dilambakkan dari China dan Indonesia telah meningkat dalam kuantiti mutlak dan menyebabkan kecederaan material kepadanya.

Justeru itu, MITI berkata kerajaan telah memulakan siasatan di bawah seksyen 20 Akta Duti Balas & Anti-Lambakan 1993 (Akta) dan Peraturan 2 Peraturan-Peraturan Duti Balas & Anti-Lambakan 1994.

“Penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari dari tarikh permulaan penyiasatan.

“Sekiranya penentuan awal adalah afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti anti lambakan sementara pada kadar yang diperlukan untuk mengelakkan kecederaan selanjutnya,” kata kementerian itu.

MITI berkata ia akan mengedarkan soal selidik dan dokumen yang berkaitan kepada pengeluar domestik, pengeksport atau pengeluar asing subjek dagangan di China dan Indonesia, pengimport dan kerajaan berkaitan.

“Pihak berkepentingan lain yang berminat untuk mengambil bahagian dalam penyiasatan duti anti lambakan ini boleh memohon untuk mendapatkan soal selidik secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada 23 Ogos 2024,” katanya.

Mereka juga boleh memberikan pandangan secara bertulis, jawapan soal selidik dan bukti sokongan tambahan kepada MITI selewat-lewatnya pada 6 September 2024.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here