ISKANDAR PUTERI, 15 Ogos – Kerajaan Negeri Johor bercadang untuk memasukkan syarat berkenaan penggunaan air kitar semula dan air hujan untuk pembangunan pusat data di negeri ini bagi mengelakkan penggunaan air domestik terjejas berikutan pembangunan sektor berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata kerajaan negeri telah memperkenalkan Garis Panduan Perancangan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor bagi menyelaras serta memantau perancangan pembangunan pusat data sejak April tahun ini.

“Kita akan memasukkan syarat tertentu mengenai penggunaan air kitar semula, air hujan dan teknologi terbaru supaya dapat menjimatkan penggunaan air,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Invest Johor 2024 yang disempurnakan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat operator air negeri Ranhill SAJ Sdn Bhd telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air supaya perkembangan pusat data di Johor tidak menjejaskan penggunaan domestik di negeri ini.

Onn Hafiz pada Julai lepas berkata Johor berjaya menarik lebih 50 pusat data dalam tempoh dua tahun lepas dengan Sedenak Tech Park (STeP) sahaja mempunyai kapasiti lebih satu gigawatt.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here