TOKYO, 16 Ogos – Taufan Ampil menuju ke arah Tokyo dan kawasan timur Jepun pada pagi Jumaat, menyebabkan pengendali pengangkutan terpaksa membatalkan banyak perkhidmatan kereta api dan penerbangan.

Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran tentang risiko angin kencang, tanah runtuh, ombak besar dan banjir, yang dijangka meningkat dengan ketara akibat hujan lebat.

Pada 10 pagi Jumaat, Taufan Ampil dilaporkan berada kira-kira 100 kilometer di timur laut Pulau Hachijo, selatan Tokyo. Taufan itu bergerak ke arah utara dengan kelajuan 20 kilometer sejam.

JR Central menghentikan semua perkhidmatan kereta api laju Tokaido Shinkansen antara Tokyo dan Nagoya sepanjang hari pada Jumaat.

JR East, yang mengendalikan perkhidmatan shinkansen di kawasan timur, timur laut dan tengah Jepun juga akan membatalkan beberapa perkhidmatan kereta api laju di laluan Tohoku, Joetsu dan Yamagata mulai petang.

Japan Airlines dan All Nippon Airways mengumumkan pembatalan kira-kira 650 penerbangan antarabangsa dan domestik ke dan dari lapangan terbang Haneda dan Narita di Tokyo, yang menjejaskan kira-kira 120,000 penumpang.

Di Chiba, beberapa kompleks komersial ditutup termasuk Gedung membeli-belah Sogo.

Taufan ini dijangka membawa hujan lebat sehingga 300 milimeter (mm) di wilayah Kanto-Koshin, 200 mm di wilayah Tohoku dan 120 mm di wilayah Tokai dalam tempoh 24 jam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here