KOTA BHARU, 18 Ogos – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menerima peruntukan daripada kerajaan lebih RM66 juta bagi membaik pulih kemudahan usang dan menaik taraf kelajuan capaian internet pada tahun ini.

Pengarah Kanan (Kompetensi) JPPKK Abdul Razak Sabtu berkata peruntukan julung kali itu membabitkan sebanyak RM50 juta bagi Projek Baik Pulih Fasiliti Usang, manakala RM16.7 juta di bawah peruntukan pendigitalan bertujuan menaik taraf kelajuan internet.

Beliau berkata projek berkenaan dijangka siap hujung tahun ini, sekali gus memberi manfaat kepada pelajar mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara hibrid melalui makmal maya, Realiti Terimbuh (AR) dan Realiti Gabung (MR).

“Dalam konteks menyediakan kemudahan kondusif supaya pelajar mendapat pendidikan berkualiti, jabatan mengambil perhatian serius dengan meletakkan dua komitmen utama pada tahun ini iaitu baik pulih kemudahan usang dan naik taraf kelajuan internet.

“Kita yakin mampu menyelesaikan dua komitmen utama menerusi peruntukan, jadi kita berterima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bersama kementeriannya kerana cakna serta ada inisiatif di politeknik dan kolej komuniti,” katanya.

Abdul Razak berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke-37 dan Kolej Komuniti Negeri Kelantan 2024 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata seramai 1,498 graduan dari politeknik dan kolej komuniti di Kelantan diraikan menerusi majlis konvokesyen berlangsung selama lima hari bermula hari ini.

Beliau berkata, dalam usaha menghasilkan graduan relevan dengan keperluan industri dan negara, pihaknya mengutamakan inisiatif kerjasama akademik-industri secara bersinergi antara kedua-dua pihak.

“Statistik menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti 2023 mencatat sejarah apabila mencapai paras tertinggi iaitu melebihi 97 peratus.

“Jabatan mendapat kepercayaan hampir 19,000 industri antaranya Maybank, Bank Rakyat, Petronas, Telekom Malaysia (TM) dan Samsung Malaysia yang sentiasa menyokong penuh sama ada dalam bentuk sumbangan, perkongsian idea, pandangan serta kepakaran,” katanya.

Antara pencapaian besar dicapai baru-baru ini ialah apabila politeknik menjadi institusi pertama diberi kelulusan menggunakan logo Perikatan Kejuruteraan Antarabangsa (IEA)-Persetujuan Sydney dan Persetujuan Dublin oleh Lembaga Jurutera Malaysia bagi sijil kejuruteraan, tambah beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here