BEIJING, 20 Ogos — Isteri Presiden China Xi Jinping, Peng Liyuan mengadakan pertemuan dengan isteri Presiden Vietnam To Lam, Ngo Phuong Ly di Dewan Besar Rakyat di sini, pada Isnin.

Peng berkata China dan Vietnam merupakan jiran baik yang disambungkan dengan gunung dan sungai, dan kedua-dua negara ini berkongsi budaya yang sama seperti kesusasteraan, kesenian, dan makanan. 

Beliau berharap kedua-dua negara meningkatkan pertukaran, kerjasama dan persefahaman untuk memajukan hubungan persahabatan China-Vietnam.

Vietnam telah mencapai kejayaan besar dalam usaha mempromosikan pembangunan wanita termasuk pendidikan kanak-kanak perempuan dan wanita.

Oleh itu, Peng mencadangkan China dan Vietnam supaya memperkasakan pertukaran dan saling belajar dalam sektor tersebut, di samping menggalakkan golongan belia mempelajari bahasa antara satu sama lain untuk meningkatkan rasa persahabatan.

Ngo mengucapkan terima kasih kepada Peng atas layanan mesra dan pengaturan yang teliti.

Beliau memberikan sanjungan tinggi terhadap sumbangan yang dibuat Peng sebagai Duta Khas UNESCO bagi Kemajuan Pendidikan Kanak-kanak Perempuan dan Wanita.

Ngo turut menzahirkan harapan agar kedua-dua negara meningkatkan pertukaran kebudayaan, memperkasakan pertukaran lawatan dalam golongan wanita dan belia, agar menyumbang kepada peningkatan persefahaman dan persahabatan dalam kalangan rakyat.

Peng dan Ngo juga meluangkan masa untuk menonton persembahan opera, tarian dan muzik China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here