China sentiasa menjadi penyokong kuat kepada usaha Afrika meneroka jalan baharu ke arah modenisasi serta penyumbang penting dalam membantu benua itu menemui pendekatan baharu untuk membasmi kemiskinan.

Jurucakap Kementerian Luar Lin Jian membuat kenyataan itu susulan banyak media dan sarjana Afrika menyifatkan kerjasama kedua-dua pihak dalam usaha membasmi kemiskinan membawa sinar harapan untuk Afrika mencapai mampu diri dari segi bekalan makanan dan menambah baik kesejahteraan rakyat.

Lin berkata pertukaran dan kerjasama China-Afrika berkaitan pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan di bawah rangka Sidang Kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAO) telah membuahkan hasil yang menggalakkan.

Menerusi program pembasmian kemiskinan dan pembangunan pertanian, China melaksanakan 47 projek berkenaan, melatih hampir 9,000 kakitangan pertanian, memperkenalkan lebih 300 teknologi yang canggih dan sesuai digunakan sehingga membawa manfaat kepada lebih sejuta pekebun kecil di Afrika.

Juncao, teknologi unik China yang menggunakan tumbuhan herba sebagai substrat untuk penanaman kulat boleh dimakan atau penghasilan baja dan tenaga biojisim, membantu ratusan ribu penduduk Afrika menjana pendapatan.

Teknologi padi kacukan yang diperkenalkan China pula membantu banyak negara di Afrika meningkatkan output hasil padi kepada 7.5 tan per hektar daripada 2 tan per hektar.

Selain itu, China juga membuka ‘saluran hijau’ untuk memudahkan produk pertanian berkualiti dari Afrika menembusi pasaran China.

Jurucakap itu menambah China sudi terus bersinergi bersama Afrika mempercepat proses pembasmian kemiskinan dengan memanfaatkan peluang daripada FOCAO 2024 yang dijadual berlangsung di Beijing pada awal September.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here