KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Maxis, syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia, akan menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang menyediakan unit pemprosesan grafik sebagai perkhidmatan (GPUaaS) berasaskan awan kepada pelanggannya di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng berkata perkhidmatan itu akan menggunakan kluster NVIDIA H100 Tensor Core GPU dan Maxis juga akan menjadi salah satu syarikat telekomunikasi pertama di dunia yang menawarkan perkhidmatan dengan generasi akan datang NVIDIA GB200 Grace Blackwell Superchips.

Beliau berkata GPUaaS menawarkan kepada perniagaan dengan akses mudah unit pemprosesan grafik (GPU) yang berkuasa untuk latihan kecerdasan buatan (AI) lanjutan dan aplikasi inferens (membuat kesimpulan awal).

“GPUaaS Maxis ialah kaedah kos efektif untuk pelanggan menggunakan keupayaan berprestasi tinggi dengan cepat yang penting untuk beban kerja pemprosesan intensif seperti AI, pembelajaran mesin dan pembelajaran mendalam.

“GPUaaS menghapuskan keperluan untuk perniagaan melabur dalam perkakasan GPU yang mahal atau menyelenggara infrastruktur yang kompleks,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan kuasa pengkomputeran berskala yang tersedia atas permintaan melalui GPUaaS, Goh berkata pelanggan boleh memperuntukkan lebih banyak masa dan sumber untuk aktiviti perniagaan teras mereka dan mempercepatkan pembangunan AI Generatif, model bahasa besar dan beban kerja AI mereka.

“Kami gembira menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang menyediakan GPUaaS, membolehkan pengkomputeran berprestasi tinggi dan pemprosesan data atas permintaan.

“Perniagaan akan mempunyai fleksibiliti untuk menggunakan sumber mereka mengikut keperluan bagi beban kerja yang lebih kompleks seperti AI, pembelajaran mesin, pemodelan 3D dan analitik berskala besar.

“Sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, kami akan terus memudahkan proses untuk pelanggan memanfaatkan penyelesaian terbaik dalam ketersambungan dan digital, membolehkan mereka menumpukan kepada pengembangan perniagaan mereka,” tambahnya.

Pada 19 Ogos, 2024, sebanyak 35 ahli Bridge Alliance dan Singtel mengumumkan perkongsian strategik yang menawarkan GPUaaS Singtel kepada perusahaan di seluruh rantau ini.

Maxis, sebagai ahli operator Bridge Alliance, secara strategiknya memutuskan untuk memanfaatkan tawaran Singtel, yang melengkapkan penyelesaian awan dan ketersambungannya sendiri yang meluas, membolehkan pelanggan mendapatkan penyelesaian yang diperlukan bagi memenuhi keperluan organisasi mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here