SEREMBAN, 29 Ogos – Pengoperasian perkhidmatan bas percuma kerajaan Negeri Sembilan, bagi laluan Seremban, Jempol dan Nilai telah dihentikan sepenuhnya bermula 1 Jun lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perkhidmatan itu terpaksa dihentikan kerana kurang mendapat sambutan daripada masyarakat setempat dan digantikan dengan perkhidmatan myBAS, yang dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan. 

“Kita telah beroperasi lama (bas percuma) dan sehingga kini sambutan yang diterima kurang memberangsangkan, malah yang banyak menggunakan bas itu hanyalah warga asing, bukan orang tempatan.

“Memandangkan kita sudah ada perkhidmatan myBAS, iaitu bas awam henti-henti yang turut menyediakan laluan sama di semua kawasan dan daerah di negeri ini, jadi kita merasakan bahawa penggunaan bas percuma itu tidak lagi diperlukan,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan myBAS turut menyediakan tawaran sama iaitu secara percuma untuk warga emas, Orang Kurang Upaya, kanak-kanak dan pelajar sekolah, selain menyediakan laluan yang sama di seluruh kawasan kampung dan daerah ke daerah.

Katanya terdapat kira-kira 90 myBAS disediakan meliputi seluruh kawasan daerah di Negeri Sembilan.

“Masyarakat masih boleh menggunakan perkhidmatan bas awam ini seperti biasa mengikut jadual laluan yang ditetapkan.

“Bagaimanapun jika ada permintaan yang mendesak untuk mengembalikan semula perkhidmatan tersebut, kita akan meneliti semula pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin memberitahu pihaknya akan meneliti mengenai cadangan untuk menaik taraf infrastruktur di terminal bas yang ada di semua daerah. 

Menurutnya kajian terperinci perlu dilakukan bagi mengelakkan projek ‘gajah putih’ disebabkan tiada penggunaan dan kurang mendapat sambutan.

“Tidak guna jika kita membuat sesuatu yang kurang memberikan manfaat sepenuhnya, kalau sudah buat kita perlu menjaga kos penyenggaraan pula, tetapi jika perkara tersebut benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat, tiada masalah untuk kerajaan negeri mengkaji semula untuk menaik taraf dan membuat perubahan di terminal sedia ada,” katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini menyediakan perkhidmatan bas percuma bermula 21 Januari 2020 dengan kekerapan sekali setiap satu jam bermula 6.30 pagi hingga 5.30 petang, merangkumi laluan di Seremban, Nilai dan Jempol.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here