ANKARA, 30 Ogos – Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis menggesa jeda kemanusiaan (gencatan senjata sementara) dilaksanakan di Gaza yang dilanda perang untuk membolehkan kempen vaksinasi kritikal terhadap virus polio, menurut kenyataan pejabat Perwakilan Tinggi EU.

EU melahirkan kebimbangan terhadap potensi wabak polio di Gaza, wilayah yang bebas polio sejak 25 tahun lepas. Gesaan untuk bertindak sejajar dengan rayuan yang dibuat oleh setiausaha agung PBB dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, menggesa jeda segera dalam perang untuk memastikan kempen vaksinasi dapat diteruskan.

“EU menyertai gesaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk jeda kemanusiaan segera di Gaza bagi membolehkan kempen vaksinasi polio dijalankan,” mengikut kenyataan itu.

EU merancang dua pusingan vaksinasi di Gaza dalam beberapa minggu akan datang, menyasarkan lebih 640,000 kanak-kanak, dan menekankan bahawa “komitmen terhadap jeda kemanusiaan oleh semua pihak menjadi penting untuk membolehkan pelaksanaan kempen mendesak ini berjaya dan tepat pada masanya.”

Keperluan mendesak kempen itu ditekankan oleh pengumuman baru-baru ini oleh Kementerian Kesihatan Gaza, yang mengesahkan kes polio pertama di rantau itu dalam tempoh 25 tahun.

Kes itu yang melibatkan bayi berusia 10 bulan di Deir al-Balah, menunjukkan kerentanan kanak-kanak yang tidak divaksinasi kepada penyakit itu.

Penyakit ini terutamanya memberi kesan kepada kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan boleh menyebabkan lumpuh tidak dapat dipulihkan dalam satu daripada 200 jangkitan, dengan peratusan ketara kes ini (antara lima peratus dan 10 peratus) mengakibatkan kematian akibat kegagalan pernafasan, menurut WHO.

Gesaan untuk gencatan senjata sementara dibuat di tengah-tengah keganasan yang semakin meningkat di Gaza, menyaksikan Israel meneruskan serangan kejamnya yang mengakibatkan lebih 40,400 kematian rakyat Palestin dan lebih 93,600 kecederaan sejak 7 Okt.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here