KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) sedang berusaha untuk menyediakan opsyen pampasan kepada pelanggan yang terjejas termasuk pengagihan semula penerbangan dan bayaran balik penuh tanpa sebarang caj penalti.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Kapten Izham Ismail berkata susulan lonjakan trafik pada Pusat Hubungan Globalnya, MAG menggalakkan penumpang menggunakan ciri ‘My Booking’ di laman webnya untuk perkhidmatan yang lebih cepat selain bertujuan menyemak status penerbangan mereka.

MAG telah pun mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan kapasiti bagi memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai, mendahului arahan terkini Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), katanya melalui satu kenyataan hari ini..

“Fokus utama kami adalah pelanggan, kami mahu menyampaikan jadual penerbangan yang boleh dipercayai dan pengalaman pelanggan yang terbaik bagi bergerak ke hadapan.

‘Rangkaian yang dikurangkan itu melibatkan 20 peratus kapasiti kami, yang merangkumi laluan Malaysia Airlines, Firefly serta Amal di Malaysia, ASEAN, Asia Utara, Australia, New Zealand, Greater China, Asia Selatan dan Timur Tengah,” katanya.

Izham menyatakan isu kekurangan alat ganti global telah menjejaskan penghantaran tempahan pesawat baharu MAG, yang seterusnya memberi kesan kepada perancangan armada kumpulan itu.

Menjelang 2024, MAG dijadualkan menerima 17 tempahan pesawat baharu sebagai sebahagian daripada program permodenan armadanya selain sebagai sokongan keperluan pertumbuhan.

Namun, setakat ini, MAG hanya menerima empat pesawat Boeing 737-8 daripada 13 pesawat yang dipersetujui secara kontrak menjelang 2024.

“Untuk A330neo, MAG dijadualkan menerima empat pesawat tetapi kini Airbus dijangka hanya akan menyampaikan tiga pesawat pada akhir tahun,” katanya.

Beliau juga menekankan MAG telah mengalami cabaran kekurangan tenaga kerja mahir memandangkan lebih banyak pemain tempatan serta antarabangsa baharu dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) telah mula memasuki pasaran Malaysia.

Berikutan itu, dalam usaha menanganinya, kumpulan telah bekerjasama dengan rakan kongsi bagi menambah tenaga kerja, tenaga kerja kejuruteraan mahir termasuk menambah baik pakej imbuhan untuk mengekalkan saluran paip bakat yang kukuh.

Izham berkata MAG tetap mengekalkan kualiti kerja penyelenggaraannya, secara dalaman dan luaran, walaupun dengan kos yang tinggi serta impak kewangan berkaitan.

Pada masa yang sama, kumpulan itu bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan, termasuk pengawal selia  dan pengeluar peralatan asli, untuk menangani cabaran operasi dengan berkesan selain memastikan penghantaran alat ganti tepat pada masanya dan boleh dipercayai, merangkumi alat ganti yang mencukupi serta berkualiti tinggi, disokong seterusnya dengan program penyelenggaraan pesawat yang mantap.

“Saya ingin mengulangi bahawa semua langkah ini, walaupun sukar, adalah perlu dalam memastikan operasi yang selamat serta boleh dipercayai untuk bergerak ke hadapan. Kami berterima kasih kepada pelanggan dan memohon pemahaman serta kesabaran mereka semasa kami menyelesaikan isu-isu di atas,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here