NEW DELHI, 30 Ogos – Negeri Tripura di timur laut India telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana alam selepas banjir yang tidak pernah berlaku sebelum ini menyebabkan kemusnahan besar dan puluhan kematian.

Banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat dalam beberapa hari kebelakangan ini telah meragut sekurang-kurangnya 31 nyawa dan kerosakan kepada harta benda serta infrastruktur dianggarkan bernilai US$1.8 bilion, lapor media tempatan pada Khamis, memetik pegawai kerajaan.

Lebih 53,000 orang yang kehilangan tempat tinggal kini berlindung di 369 kem bantuan.

Tripura yang bersempadan dengan Bangladesh merupakan satu daripada negeri terkecil di India dan mempunyai populasi kira-kira 4.2 juta orang.

Sementara itu, angka korban akibat insiden berkaitan hujan dalam tempoh tiga hari di negeri barat Gujarat meningkat kepada 35 orang.

Kira-kira 18,000 orang telah dipindahkan dari bandar dan kampung yang dilanda banjir di Gujarat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here