KUALA LUMPUR, 4 Sept – Lebuhraya Baru Pantai (E10 NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (E9 BESRAYA) akan ditutup sementara dari 12.01 tengah malam sehingga 11 pagi Ahad ini (8 Sept) bagi memberi laluan kepada acara larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif bagi kedua-dua lebuh raya Wan Salwani Wan Yusoff dalam kenyataan hari ini berkata penutupan di NPE melibatkan kedua-dua arah KM 1.8 dari Bulatan Kewajipan (Subang Jaya) ke KM 11 ke arah Bangsar serta dari Kuchai Lama Entrepreneurs Park ke Plaza Tol Pantai Dalam di kedua-dua arah.

Beliau berkata penutupan di BESRAYA pula melibatkan laluan Persimpangan Bertingkat Kuchai Lama sehingga ke Jalan Pandan 1 di KM 21.9 menghala ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di kedua-dua arah.

Wan Salwani berkata penganjuran acara itu telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) selain persediaan rapi dilaksanakan NPE, BESRAYA  dan polis bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan pengguna jalan raya akan dilencongkan ke laluan alternatif.

“Beberapa laluan alternatif telah dirancang sebagai lencongan kepada lalu lintas bagi memudahkan mobiliti masyarakat setempat berikutan penutupan jalan di sepanjang kedua-dua lebuh raya,” katanya dan menambah orang ramai boleh menghubungi talian khidmat NPE di 1-300-88-1010 dan BESRAYA di 1-800-88-0999 untuk sebarang maklumat dan bantuan.

New Pantai Expressway Sdn Bhd dan Besraya (M) Sdn Bhd ialah anak syarikat IJM Corporation Berhad.

Larian edisi keenam itu membabitkan lebih 10,000 peserta, mempertandingkan larian 21 kilometer (km) separuh maraton, 10km, 5km, dan 1.5km yang baru diperkenalkan untuk pelari muda selain menampilkan kategori marathon penuh iaitu 42.195km.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here