PHNOM PENH, 17 Sept – Kemboja sedang meningkatkan usaha pemodenan sektor penjagaan kesihatannya dengan tumpuan yang tinggi untuk meningkatkan perkhidmatan perubatan di kawasan luar bandar, yang akses kepada rawatan sukar kerana kekurangan kemudahan dan infrastruktur. 

Selepas mencapai kemajuan ketara dalam membangunkan ekonominya, mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan sepanjang tahun, kerajaan memberi tumpuan kepada menaik taraf sistem penjagaan kesihatan untuk 16 juta penduduknya. 

Perdana Menteri Hun Manet berkata perkhidmatan kesihatan perlu ditambah baik untuk meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem penjagaan kesihatan negara dan membawa perkhidmatan perubatan lebih dekat kepada rakyat. 

“Langkah pertama memperluaskan perkhidmatan penjagaan kesihatan di peringkat akar umbi, termasuk membina pos kesihatan dan pusat kesihatan rujukan daerah, yang terus kami bangunkan. Mengukuhkan infrastruktur yang terhubung juga merupakan bahagian penting dalam usaha ini,” kata Hun Manet semasa majlis pecah tanah bangunan baharu Hospital Calmette di ibu negara hari ini, lapor Fresh News. 

Hampir 60 peratus daripada penduduknya berumur di bawah 30 tahun, manakala ia juga mempunyai kumpulan warga emas yang memerlukan rawatan perubatan berterusan dan berkualiti. Kekurangan infrastruktur penjagaan kesihatan yang baik, perubahan corak penyakit dan kos penjagaan perubatan yang meningkat menjadi beban kepada rakyat.

Di tengah-tengah cabaran ini, kerajaan telah mula menyediakan penjagaan kesihatan yang saksama untuk semua segmen dengan menaik taraf infrastruktur yang diperlukan, memastikan bekalan peralatan perubatan yang stabil dan membangunkan kakitangan perubatan profesional untuk mengisi jurang kekurangan doktor pakar.

“Kami terus mengukuhkan dan membangunkan perkhidmatan penjagaan kesihatan menggunakan dua pendekatan. Pendekatan pertama dari atas ke bawah, memodenkan dan mempelbagaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan agar lebih maju. 

“Pendekatan kedua dari bawah ke atas, bermula dari peringkat akar umbi, dengan tumpuan kepada penambahbaikan pusat kesihatan dan hospital rujukan,” katanya.

Langkah kerajaan juga akan mengurangkan rakyat Kemboja yang melancong ke negara jiran, seperti Vietnam dan Thailand, untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Menurut portal berita Kiripost, kira-kira 200,000 hingga 250,000 rakyat Kemboja pergi ke luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan tahun lepas.

Hun Manet juga menggesa Kementerian Kesihatan meningkatkan kemahiran doktor tempatan bagi mengurangkan kesesakan di hospital di bandar itu disebabkan pesakit yang datang ke Phnom Penh untuk mendapatkan rawatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here