HANOI, 18 Sept – Forum peringkat tinggi mengenai Keterhubungan Rantaian Bekalan ASEAN: “Key Issues and Challenges” diadakan di Vientiane, Laos, pada Isnin (16 Sept), dengan para peserta membincangkan keperluan mendesak untuk meningkatkan integrasi di tengah-tengah cabaran global yang semakin berkembang.

Forum ini dianjurkan bersama oleh Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Laos dan Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA) yang menghimpunkan pegawai-pegawai kerajaan, pakar dan pemimpin perniagaan dari seluruh rantau ini, lapor Agensi Berita Vietnam.

Perbincangan tertumpu kepada strategi untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam pengurusan rantaian bekalan, selaras dengan kepengerusian ASEAN oleh Laos pada 2024 bertemakan “ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience.

Berucap pada majlis itu, Menteri Perindustrian dan Perdagangan Laos Malaythong Kommasith menjelaskan faktor utama yang mempengaruhi rantaian bekalan ASEAN termasuk perubahan geopolitik, kemajuan digital dan penekanan yang semakin meningkat terhadap kemampanan.

Beliau menekankan keperluan untuk memperkukuh infrastruktur digital dan menyelaras dasar bagi meningkatkan daya saing dalam sektor baharu seperti kenderaan elektrik, semikonduktor dan perkhidmatan digital.

Keutamaan lain yang dikenal pasti untuk kerjasama serantau termasuk meningkatkan aliran bebas data serta menyokong mobiliti bakat digital dalam kalangan negara ASEAN.

Menteri itu juga menyeru kepada pembangunan mekanisme institusi bagi melindungi rantaian bekalan daripada potensi gangguan, termasuk risiko kesihatan global.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here