KUALA LUMPUR, 19 Sept – Selain daripada kebanggaan negara, Hari Malaysia juga berfungsi sebagai jambatan untuk hubungan antarabangsa, terutamanya antara Malaysia dan Iran.

Dengan memanfaatkan nilai budaya yang dikongsi bersama dan menganjurkan acara kebangsaan di kedua-dua negara, hari ini dapat memperkukuh hubungan diplomatik, ekonomi, dan saintifik.

Ia menawarkan platform untuk pertukaran budaya, memupuk persefahaman dan hormat-menghormati  antara negara-negara.

Daripada festival makanan tradisional kepada acara keagamaan dan seni, Hari Malaysia memberikan peluang unik untuk mempererat persahabatan antara Malaysia dan Iran, merayakan bukan sahaja warisan kebangsaan tetapi juga nilai bersama yang berakar dalam  Islam dan kebudayaan Asia, menurut kenyataan Kedutaan Iran di Malaysia sempena Hari Malaysia yang disambut setiap tahun pada 16 Sept.

“Menganjurkan acara bersama pada perayaan kebangsaan boleh membantu meningkatkan pengetahuan umum rakyat kedua-dua negara mengenai satu sama lain, mewujudkan rangkaian sosial dan mempromosikan kerjasama serta persahabatan baharu antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Kedutaan Iran berkata ia bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia bagi mempromosikan idea-idea ini dan memaklumkan bahawa pihaknya akan menganjurkan acara-acara ini tidak lama lagi.

Menurut kedutaan itu, gastronomi adalah salah satu aspek penting budaya setiap negara dan budaya “makanan jalanan Malaysia” terkenal dalam kalangan rakyat Iran.

“Menganjurkan pameran dan festival makanan dengan penyertaan kedua-dua negara dapat membantu memperkenalkan makanan tradisional dan menjalin persahabatan yang lebih erat antara rakyat,” katanya.

Kedutaan itu turut menekankan bahawa penganjuran acara keagamaan seperti majlis tilawah al-Quran dan acara kebudayaan seperti festival filem di kedua-dua negara boleh membantu merapatkan hubungan antara rakyat.

Ia turut mencatatkan bahawa sambutan Hari Malaysia boleh dijadikan peluang untuk memperkenalkan pencapaian saintifik dan penyelidikan rakyat Malaysia kepada rakyat Iran dan sebaliknya.

“Menjalinkan kerjasama akademik dan penyelidikan juga dapat membantu membangunkan hubungan saintifik dan pendidikan.

Program pertukaran pelajar dan ahli akademik serta kerjasama saintifik dapat membantu mengukuhkan hubungan saintifik antara belia kedua-dua negara,” katanya.

Memandangkan kekayaan sejarah kedua-dua negara, kedutaan itu berkata penganjuran bengkel dan seminar bersama boleh membantu meningkatkan kesedaran dan pemahaman.

“Dengan menganjurkan acara seni, sukan dan pelancongan bersama pada perayaan kebangsaan, ia dapat membantu mewujudkan rasa solidariti dan persahabatan antara dua negara dan mengembangkan hubungan sosial antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Kedutaan itu melihat sambutan Hari Malaysia sebagai satu peluang untuk memperkenalkan seni, muzik, dan kraftangan Malaysia kepada rakyat Iran dan sebaliknya.

Kenyataan kedutaan itu diakhiri dengan ucapan “Selamat Hari Malaysia daripada kami semua di Kedutaan Iran di Malaysia.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here