CYBERJAYA, 19 Sept — Industri kenaf memerlukan lebih banyak bantuan daripada kerajaan agar terus membangun dan menggalakkan lebih banyak pekebun kecil menceburi penanamannya untuk menjana nilai berganda kepada ekonomi negara, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata walaupun industri ini masih baharu berbanding komoditi lain, beliau yakin, keunikan tanaman ini, iaitu hanya mengambil masa sekitar tiga bulan untuk mendapatkan hasil, menjadikannya mampu mendapat lebih tarikan dalam kalangan pekebun kecil.

“Kenaf disifatkan sebagai ‘adik bongsu’ dalam kementerian ini dan agensi di bawah kementerian. Ia adalah industri berusia 14 tahun. Tetapi keunikannya, kita tidak perlu bertahun-tahun untuk mendapatkan hasil pendapatan, tiga bulan sekali kita akan mendapat hasil.

“Saya berpendapat bantuan dari segi penggalakan tanaman amat penting kerana kementerian berhasrat mewujudkan ekosistem dengan setiap industri mempunyai sektor huluan, hiliran dan pertengahan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Kebangsaan Industri Kenaf (PKIK) 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata produk hiliran yang menggunakan kenaf kini semakin mendapat perhatian ramai.

“Oleh itu, kalau ia sudah berkembang, kita perlukan lebih ramai yang menanam komoditi ini. Selain menggalakkan pekebun kecil, kita juga ingin bekerjasama dengan syarikat besar.

“Bagi syarikat perladangan, jika anda ingin mempelbagaikan tanaman, inilah caranya. Ia mempunyai kitaran yang pendek, justeru anda tidak akan menghadapi masalah dengan aliran tunai, ” katanya.

Terdahulu, Chan membacakan teks ucapan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani sekali gus merasmikan majlis itu bagi mewakili Johari.

Johari dalam ucapannya berkata penganjuran PKIK 2024 adalah bukti komitmen Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sebagai agensi di bawah kementerian yang meneraju sektor agrikomoditi kenaf di Malaysia ke arah pertumbuhan dan kemampanan industri kenaf tempatan yang berdaya saing.

Beliau berkata ini sekali gus mampu menjana nilai berganda kepada ekonomi negara.

Menurutnya tanaman kenaf dikembangkan ke seluruh Malaysia pada 2010 dan mula diusahakan secara besar-besaran di Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.

Tanaman kenaf bagi pengeluaran biji benih pula dilaksanakan di Kedah dan Perlis, kata Johari.

“Pada 2023, statistik pasaran produk kenaf bernilai RM8.88 juta, peningkatan RM3.31 juta atau 59.32 peratus berbanding RM5.57 juta pada 2022.

“Sehingga suku kedua 2024, nilai pasaran produk kenaf telah mencapai RM6.28 juta, peningkatan RM2.67 juta atau 74.09 peratus berbanding RM3.61 juta dalam tempoh sama pada 2023,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here