PHNOM PENH, 19 Sept – Kemboja menetapkan sasaran untuk mempunyai 40 peratus kereta dan 70 peratus motosikal yang menggunakan tenaga elektrik menjelang 2050, menurut Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan Peng Ponea.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha negara ini untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mempromosikan kelestarian.

Beliau menyatakan perkara itu semasa bengkel penyebaran mengenai Dasar Nasional untuk Pembangunan Kenderaan Elektrik (EV) 2024-2030.

“Sektor EV merupakan salah satu sektor berpotensi tinggi kerana ia bukan sahaja meningkatkan kelestarian alam sekitar dan kesihatan awam, tetapi juga menyumbang kepada momentum kepelbagaian asas ekonomi serta memperkukuhkan keterjaminan tenaga,” katanya.

Penggunaan EV secara signifikan telah menyumbang kepada pengurangan kesan karbon dioksida yang dilepaskan oleh kenderaan yang menggunakan petrol,” katanya.

Ketika ini, Kemboja mempunyai lebih tujuh juta kenderaan yang menggunakan bahan api, dengan 85 peratus daripadanya adalah motosikal, 10 peratus kereta, dan lima peratus adalah bas, lori, serta jentera berat.

Ponea berkata sehingga kini, negara Kemboja telah mendaftarkan sejumlah 3,676 EV dan memiliki 21 stesen pengecasan EV.

Tiga jenama EV paling popular di Kemboja ialah BYD dari China, Toyota dari Jepun, dan Tesla dari Amerika, menurut Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan.

Menurut Dasar Nasional untuk Pembangunan EV, penggunaan EV hanya memerlukan kos sebanyak 9,633 riel (US$2.34) bagi jarak 100 kilometer, manakala penggunaan kenderaan petrol atau diesel menelan kos sehingga 35,723 riel (US$8.69).

Udom Pisey, seorang pengurus EV di Car4you Co. Ltd yang mengimport EV Letin Mengo dari China, berkata EV mempunyai bahagian bergerak yang jauh lebih sedikit berbanding kenderaan petrol atau diesel, jadi kos penyelenggaraan dan pembaikannya lebih murah daripada kenderaan pembakaran dalaman.

“Penggunaan EV bukan sahaja menjimatkan wang untuk bahan api, tetapi juga membantu mengurangkan pencemaran udara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here