ALOR SETAR, 21 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan menentukan sesi persekolahan bagi sekolah di Kedah yang terjejas akibat banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata kementerian berkenaan akan mempertimbang untuk memberi kelonggaran kepada sekolah yang terlibat, termasuk cuti tambahan kepada pelajar dan murid.

“Untuk sesi sekolah tingkatan lima dikekalkan, tetapi untuk sesi sekolah kalau terbeban dengan masalah penempatan, tentunya Menteri Pendidikan akan memberikan kenyataan supaya memberikan sedikit kelonggaran, cuti tambahan untuk pelajar.

“Tapi saya tekankan bahawa dia bukan cuti tapi bekerja dari rumah…kalau ada saluran untuk sampaikan saya tidak mahu masa belajar itu dijadikan cuti. Jadi kalau pun tak dapat masuk ke sekolah mesti guru-guru tetapkan kerja rumah disiapkan sebelum sekolah dibuka semula,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas tinjauan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah di sini, yang dijadikan PPS mangsa banjir, hari ini.

Sesi persekolahan di Kedah akan bermula semula esok selepas cuti pertengahan penggal berakhir hari ini, namun sehingga kini 37 sekolah termasuk maahad tahfiz di enam daerah seluruh negeri dijadikan PPS.

Perdana Menteri berkata KPM akan menyalurkan peruntukan bagi sekolah-sekolah termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri, yang mengalami kerosakan disebabkan dijadikan PPS.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan lawatan di PPS Stadium Sultan Abdul Halim dan meluangkan masa kira-kira setengah jam di situ sebelum ke SMKA Agama Kedah dan mengakhiri lawatan di PPS Sekolah Kebangsaan Titi Gajah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here