KUALA LUMPUR, 23 Sept — Ekspo ASEAN-China 2024 di Nanning, China pada 24-28 September ini akan menyaksikan penyertaan 150 organisasi Malaysia yang diketuai oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysa (MATRADE).

Penyertaan pada acara itu dijangka dapat meningkatkan lagi keupayaan eksport Malaysia ke kawasan yang sedang pesat membangun di China, kata MATRADE dalam kenyataannya hari ini.

Delegasi itu termasuk 12 kementerian dan agensi kerajaan selain empat persatuan perdagangan yang bakal berhimpun di bawah Pavilion Malaysia – antara yang terbesar sejak pandemik COVID-19.

“Pavilion Malaysia di CAEXPO 2024 akan menampilkan agensi utama kerajaan, termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) selain penyertaan sektor swasta.

“Sektor tumpuan termasuk makanan dan minuman, produk pertanian, gaya hidup, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, serta sektor perkhidmatan,” katanya.

Bagi menyerlahkan lagi kekuatan ekonomi Malaysia yang pelbagai, pavilion itu akan turut disertai oleh Kementerian Pertanian, EXIM Bank, Majlis Minyak Sawit Malaysia selain pelbagai agensi kerajaan dan badan industri, sekali gus mengukuhkan komitmen negara terhadap pertumbuhan perdagangan dan pelaburan serantau.

MATRADE berkata penglibatannya dalam CAEXPO secara konsisten juga terbukti membuahkan hasil yang kukuh.

“Sepanjang 20 edisi sebelum ini, penyertaan MATRADE menyaksikan penglibatan lebih 2,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dan menjana angka jualan ketara berjumlah RM6.3 bilion.

“Ini mencerminkan pengiktirafan berharga terhadap produk dan perkhidmatan Malaysia di China,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz menyifatkan penyertaan ke-21 MATRADE dalam CAEXPO memaparkan bukti komitmen agensi itu bagi meningkatkan perdagangan dengan China.

“Kehadiran berterusan kami di acara berprestij ini mencerminkan kepentingan untuk mengukuhkan lagi hubungan perdagangan antara Malaysia dan China,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here